Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mesyuarat terbatal: Pemilihan semula atau sahkah pelantikan

Terserah kepada kawasan sama ada mahu mengadakan semula mesyuarat agung tahunan dan pemilihan, atau mengesahkan pelantikan sebelum ini jika anggota parti peringkat itu berpuas hati, kata Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Mohd Anuar berkata cadangan harus datang daripada anggota Amanah bagi menentukan langkah yang perlu diambil selepas ini.

"Dia (ahli) bagi cadangan, barulah (ditentukan) sekiranya pemilihan semula perlu diadakan," katanya.

Menurut anggota parlimen Temerloh itu, dengan adanya pemilihan dan mesyuarat agung tahunan sekali lagi, tokoh yang kalah sebelum ini boleh bertanding semula jika mereka mahu.

Anuar yang juga timbalan menteri kerja raya ditanya mengenai status 81 kawasan yang diarah mengadakan mesyuarat agung tahunan sekali lagi selepas ia terbatal baru-baru ini.

Pada 22 Sept lalu Malaysiakini melaporkan Amanah pusat mengarahkan sebanyak 655 cawangan dan 81 kawasan - termasuk sayap pemuda dan wanita - supaya mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan semula selepas mesyuarat yang dijalankan sebelum ini tidak sah.

Cawangan tak wujud

Ekoran perkembangan itu juga, konvensyen Amanah peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung pada Okt ini juga terpaksa ditunda sehingga Nov nanti.

Sumber memberitahu isu itu berbangkit kerana kelemahan pengurusan Amanah di peringkat ibu pejabat apabila mereka tidak meneliti atau menyerahkan minit-minit mesyuarat daripada pelbagai peringkat parti kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Apabila mesyuarat peringkat cawangan atau sayap-sayap tidak sah, ia turut memberi kesan di peringkat kawasan," kata sumber itu.

Mohd Anuar pembatalan mesyuarat agung tahunan di peringkat kawasan itu berlaku apabila ada anggota Amanah dari cawangan tertentu yang - secara teknikal - belum wujud tetapi hadir sebagai perwakilan.

"Ia masalah pengurusan, terlampau banyak permohonan penubuhan cawangan, melebih 2,000.

"Daripada jumlah itu lebih 1,600 permohonan diselesaikan mengikut kehendak ROS tetapi ada (cawangan) entah macam mana (dokumen dihantar) tidak sampai kepada ROS.

"Justeru (pendaftaran cawangan) gagal disempurnakan dalam masa 90 hari seperti mana ditetapkan ROS.

"Selepas 90 hari (cawangan berkenaan) tak dianggap wujud dan permohonan semula perlu dibuat sekali lagi," jelasnya mengenai masalah teknikal yang dihadapi parti itu.

Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku itu memberi banyak hikmah kepada Amanah untuk memperbaiki kelemahan dalam pengurusan parti.

Mohd Anuar turut mengakui terdapat kelemahan di pihak ibu pejabat parti itu dalam menguruskan hal berkenaan.

Katanya, walaupun masalah itu timbul tapi ia tidak menjejaskan persiapan konvensyen nasional parti itu yang dijadualkan pada Dis depan.

Lihat Komen
ADS