Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan supaya berani keluar dari kepompong cara berpolitik lama dengan tidak membeza-bezakan layanan terhadap negeri-negeri miskin.

Katanya, tidak guna jika ada pihak selalu menyebut beberapa negeri seperti Sabah, Sarawak dan Kelantan sebagai negeri miskin, tetapi tiada sokongan sewajarnya diberikan kepada negeri-negeri berkenaan, seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri lain.

“Royalti sampai sekarang pun tak bagi. Kedah tak apalah ada minyak gamat. Nanti kita akan tengok pembentangan belanjawan, berapa peruntukan yang akan diberikan ke negeri yang dikatakan miskin.

“Kita kena akui bahawa kita perlu keluar dari kerangka lama. Tak guna kata negeri ini miskin, negeri itu miskin, (tapi) peruntukan tak ada, pembangunan tak ada, perancangan tak ada.

“Peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang pun cuma bagi RM100,000 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan di Parlimen hari ini.

Seminar anjuran Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Majlis Ahli-ahli Backbecher dan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu dihadiri pengerusi kaukus, Anwar Ibrahim dan dirasmikan Timbalan YDP Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

Seminar itu antara lainnya membincangkan mengenai kewajaran menilai semula takrifan garis kemiskinan seperti yang disuarakan oleh pakar-pakar ekonomi sebelum ini, termasuklah daripada pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia, Philip Alston pada Ogos lalu.

Alston dalam laporannya mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara” dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.

Anggota Parlimen Kubang Kerian dalam ucapannya turut mengakui perkara tersebut dan menyarankan formula untuk mengukur kemiskinan menggunakan piawaian antarabangsa yang lebih adil.

Menurut statistik, Kelantan dicatatkan sebagai negeri paling miskin di Semenanjung Malaysia dan ketiga termiskin selepas Sabah dan Sarawak di Malaysia, dengan kadar kemiskinan 0.4 peratus.

Pada 27 Ogos lalu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan bagi bulan Jun, seramai 6,218 orang rakyat Kelantan tergolong dalam kategori miskin tegar manakala seramai 31,217 orang pula dikelaskan sebagai miskin.

Anggota Parlimen Kalabakan, Ma’mum Sulaiman dalam ucapannya pada seminar ini turut menyuarakan nada yang sama dengan timbalan presiden PAS, berkata Sabah seolah-olah dipinggirkan dalam agenda kemajuan.

Katanya, setakat Januari, seramai 74,296 daripada 3.9 juta penduduk Sabah tergolong dalam kategori sebagai miskin dengan pendapatan isi rumah kurang RM980 sebulan manakala 19,469 pula dikelaskan sebagai miskin tegar dengan pendapatan isi rumah kurang RM580 sebulan.

“Ini tanggapan orang Sabah, melihat (seolah-olah) kita ini (penduduk Sabah) tidak mahu dimajukan, tak mahu diberi pandai, prasarana kita tetap ke belakang supaya kita tak boleh maju dan kita terus 'dijajah oleh Malaya'.

“Itulah tanggapan orang Sabah.

“Jadi dalam kerajaan baru ini yang terbuka, isu kemiskinan (harus jadi) satu agenda yang besar, harus ditangani dengan baik, terutamanya di Sabah,” katanya lagi.

Turut hadir dalam seminar itu, sebahagian anggota parlimen dari parti pembangkang dan kerajaan, termasuk dari PKR, DAP, Amanah, Warisan, PAS dan Umno, serta wakil-wakil NGO. 

Lihat Komen
ADS