MP PKR gesa pembangkang diberi masa cukup bahas bajet
Kerajaan perlu memberi masa yang mencukupi kepada ketua pembangkang di parlimen untuk membahaskan bajet, kata anggota parlimen dari PKR, Hassan Abdul Karim.
"Ini supaya parlimen bagi masa yang cukup untuk ketua pembangkang membahaskan belanjawaan negara.
"Sekurang-kurangnya seminggu untuk persiapan bagi ketua pembangkang boleh bahas dengan kualiti perbahasan yang tinggi berdasarkan fakta dan angka, bukannya retorik semata-mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anggota Parlimen Pasir Gudang itu berkata, ini penting kerana ketua pembangkang merupakan institusi penting dalam sistem demokrasi seperti di negara-negara demokrasi maju yang lain.
Belanjawan negara secara tradisinya dibentangkan pada hari Jumaat minggu pertama sesi terakhir parlimen.
Ketua pembangkang kemudian dijangka membahaskan ucapan bajet pada Isnin berikutnya, yang memberikan mereka masa hanya selama dua hari untuk melakukan persediaan.
Kecuali tahun lepas, parlimen bercuti selama satu minggu selepas ucapan bajet pada minggu Deepavali.
Bajet 2020 akan dibentangkan pada 11 Okt depan.

