GLOBAL | Polis Indonesia menggunakan meriam air dan gas pemedih mata semalam, bagi meleraikan protes terhadap ribuan pelajar universiti yang mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara bagi membantah undang-undang jenayah baru.

Kod jenayah baru itu berkaitan undang-undang yang didakwa akan melemahkan agensi antirasuah di negara itu dan melarang seks luar nikah.

Semalam, ribuan pelajar berkumpul di hadapan dan di belakang pintu masuk Parlimen di Jakarta untuk bertemu dengan Speaker Parlimen Bambang Soesatyo.

Bagaimanapun, Bambang menggesa kumpulan pelajar terbabit supaya bertenang dan turut menjemput mereka untuk berdialog.

Demonstrasi itu telah berjalan berterusan selama beberapa hari.

Menurut CNN Indonesia, demo yang dinamakan #GejayanMemanggil itu turut berlaku di bandar lain seperti di Jombang, Makassar, Riau, Bali, hingga Papua.

Di Bandung dan Makassar, himpunan yang menyaksikan pelajar yang berpakaian jaket universiti dari pelbagai warna itu turut diperlakukan perkara yang sama oleh pihak polis bagi meleraikan keadaan.

Difahamkan, protes itu terus dilakukan hari ini sehingga undang-undang baru itu dibatalkan.

Memetik Channel News Asia, ia dilakukan kerana penunjuk perasaan membaling batu dan mula melanggar penghalang di hadapan pejabat kerajaan gabenor.

Undang-undang jenayah itu diperkenalkan bertujuan menggantikan beberapa undang-undang era penjajahan Belanda.

Untuk rekod, atas bantahan umum, pada Jumaat lalu Presiden Joko Widodo mengarahkan penangguhan undian parlimen terhadap undang-undang jenayah itu yang sepatutnya dijadualkan semalam.

Bantahan tersebut dibuat terutamanya bagi larangan seks luar nikah yang dikhuatiri menjejaskan industri pelancongan.

Antara yang terkandung dalam undang-undang jenayah baru itu memperuntukkan:

  • mereka yang melakukan seks luar nikah boleh dipenjara selama satu tahun,

  • bersekedudukan sebelum berkahwin boleh dipenjara selama enam bulan,

  • menghina presiden, naib presiden, agama, institusi negara dan simbol seperti bendera dan lagu kebangsaan adalah haram,

  • pengguguran janin boleh membawa kepada maksimum empat tahun penjara, yang bukan akibat rogol atau atas faktor kesihatan.