Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan hari ini berjanji akan mempertahankan kebebasan bersuara mahasiswa selain memastikan insiden yang menyaksikan wakil mahasiswa dihukum tidak berulang.

Kumpulan mahasiswa Demokrat UM (Universiti Malaya) berkata, pemimpin Umno itu memberikan komitmen berkenaan ketika dijemput sebagai ahli panel dalam sebuah forum anjuran Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM).

Dalam pertemuan itu Demokrat UM turut menyampaikan memorandum kepada Mohamad bertajuk Tuntutan Mahasiswa: Menuju Malaysia Bebas Korupsi.

"Memorandum ini telah berjaya dihantar kepada Tok Mat (Mohamad) dan ahli Demokrat UM juga sempat menujukan beberapa soalan kepada beliau.

"Beliau berjanji untuk mengangkat hak kebebasan bersuara mahasiswa dan insiden seperti mahasiswa UM dikenakan tindakan tatatertib selepas menjemput ketua pembangkang pada tahun 2014 juga peristiwa UM4 tidak akan berulang," kata Demokrat UM dalam kenyataannya.

Peristiwa UM4 merujuk kepada tindakan tatatertib dikenakan ke atas empat pelajar UM yang didapati bersalah menyertai himpunan "Tangkap MO1” pada 2016.

Dua tahun sebelum itu, Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol dikenakan sembilan dakwaan tatatertib atas penganjuran 'Pidato Umum Anwar Ibrahim 40 Tahun: Dari UM ke Penjara' di universiti itu.

Fahmi dikenakan tindakan tatatertib di bawah Seksyen 16B Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 atas anjuran yang menampilkan ketua pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Demokrat UM menyambut baik kehadiran Mohamad sebagai ahli panel dalam forum anjuran KMUM.

Jelasnya, ia menjadi batu loncatan kepada KMUM apabila objektif forum itu berjaya mencapai matlamat untuk mengetengahkan peranan mahasiswa dalam menilai politik semasa.

"Bak kata Tok Mat sendiri, "kewajaran berpolitik" adalah apabila politik disesuaikan dengan keadaan sekeliling dan tidak terikut-ikut dengan 'trend' semasa," jelasnya lagi.

Demokrat UM berpendapat adalah menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk terus memastikan universiti itu kekal sebagai pentas diskusi intelektual tanpa mengira mana-mana kerajaan yang memerintah.