Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kit Siang ketepi sengketa, sedia jumpa bekas KM Sabah
Diterbitkan:  Sep 25, 2019 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang merancang untuk melawat Sabah dan berjumpa dengan seteru lamanya, bekas ketua menteri, Mohd Harris Salleh, untuk membincangkan isu kemiskinan di negeri itu.

Harris melarang Lim daripada memasuki Sabah kerana perbezaan politik pada tahun 1984 semasa menjadi ketua menteri dari tempoh 1976 hingga 1985.

Walau bagaimanapun, Lim baru-baru ini menerima memorandum dari Harris.

"Saya menerima memorandum mengenai kemiskinan di Sabah dari Harris Salleh.

"... Di sebalik persengketaan di antara kami, saya sedia mendengar pandangan Harris tentang cara paling berkesan untuk membasmi kemiskinan, terutama kerana ia menjadi isu sangat panas," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri merujuk kepada dakwaan kontroversi oleh Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston, berkenaan garis kemiskinan yang tidak tepat di di negara ini.

Alston dalam laporannya antara lain menyifatkan kadar kemiskinan negara iaitu 0.4 peratus pada 2016 tidak realistik sedangkan katanya, kadar kemiskinan sebenar Malaysia ialah kira-kira 15 peratus yang hampir dengan negara lain.

Menurut Lim, Harris, dalam memorandumnya, menyatakan bahawa walaupun Malaysia berjaya dalam programnya untuk membasmi kemiskinan seperti rancangan Felda, namun ini berubah pada "sepuluh tahun terakhir di bawah kerajaan BN".

Bekas ketua menteri itu mendakwa kemiskinan, khususnya di Sabah, masih tinggi, kata Lim.

"Harris telah menyediakan untuk Sabah satu cadangan bagi meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar dan pesisir.

"Harris telah menubuhkan projek perintis untuk kedua-dua kawasan itu (pantai dan luar bandar atau pedalaman) dan menjemput saya untuk melawat.

"Pada dasarnya saya bersedia untuk melawat projek perintis Harris, satu di Balung, Tawau dan satu lagi di daerah Kuala Penyu di luar Kota Kinabalu," katanya.

Lihat Komen
ADS