Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri sahkan kematian Orang Asli Kuala Koh akibat demam campak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan kematian Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang adalah akibat wabak demam campak.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad, juga mengesahkan analisis sampel persekitaran dan laporan forensik menunjukkan tiada pengaruh keracunan logam berat.

"KKM memaklumkan mengenai situasi terkini kejadian wabak demam campak (measles) dan kematian di kalangan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dari 3 Jun hingga 10 September 2019."

"Daripada 16 kematian, empat disahkan demam campak, lapan kematian mempunyai kaitan epidemiologi dengan wabak demam campak, manakala empat kematian lagi tidak dapat ditentukan punca kematian kerana tahap pereputan yang teruk," katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya, petang tadi.

Menurut Dzulkefly, sehingga 10 Sept lalu, 213 kes bergejala penyakit saluran pernafasan seperti demam, batuk dan selesema dilaporkan.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 123 kes - termasuk empat kematian - disahkan sebagai kes demam campak melalui ujian makmal.

"Daripada jumlah itu sebanyak 75 kes demam campak dengan tiga kematian berlaku di Kelantan, 44 kes dengan satu kematian di Terengganu dan empat kes tanpa kematian di Pahang," katanya.

Sebelum ini kematian 15 Orang Asli Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan sejak awal Mei dianggap sebagai kematian misteri.

Liputan imunisasi rendah

KKM dalam laporan awal mengenal pasti mereka dilanda demam campak tetapi pada masa sama memberitahu, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan.

Dzulkefly berkata, beberapa sampel seperti sumber air minum, tanah dan ikan masin kering diambil untuk diuji bagi mengesan kehadiran logam berat, mikroorganisma dan racun perosak.

"Hasil pemeriksaan mendapati sumber air minum Orang Asli - iaitu air tandak, air sungai dan air telaga - mematuhi nilai piawaian kualiti air mentah untuk minuman dan bebas racun makhluk perosak, namun sumber air minum tersebut tercemar dengan beberapa bakteria patogenik.

"Analisis mikrobiologi ke atas sampel tanah kubur dan sekitar tempat tinggal satu kes kematian adalah negatif untuk dua bakteria patogenik yang diuji (meliodosis dan leptospirosis).

"Analisis yang dijalankan terhadap ikan masin kering juga mendapati tiada logam berat, histamin dan mikroorganisma," tambahnya.

Dzulkefly berkata antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya demam campak adalah liputan imunisasi serta tahap nutrisi yang rendah dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli, serta cara hidup mereka yang sering berpindah dan memasuki hutan akibat sakit atau kematian yang menyumbang kepada kelewatan mendapatkan rawatan sehingga jangkitan terus berlaku.

"Kes-kes bergejala juga dikesan di Kampung Gerdong, Sungai Berua, Hulu Terengganu, Terengganu dan Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang yang mempunyai kaitan dengan wabak yang sedang berlaku di kalangan Orang Asli Suku Bateq di Kuala Koh," katanya.

Sementara itu, Dzulkefly memberitahu KKM sedang mengambil tindakan kawalan dan pencegahan melibatkan pelbagai agensi berkaitan untuk komuniti terlibat.

"Antaranya pendidikan kesihatan berkaitan kebersihan, keselamatan makanan, pemakanan, kepentingan imunisasi, pencegahan penyakit dan kepentingan mendapatkan rawatan awal sekiranya bergejala di fasiliti kesihatan berdekatan.

"Di samping itu, langkah-langkah berkaitan kesihatan awam seperti memastikan keselamatan air minum, pemakanan komuniti dan kempen imunisasi turut dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Lihat Komen
ADS