Dr M pertahan kenyataan 'anti-Yahudi' di pentas universiti New York
Berucap di Columbia University di New York, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataannya yang dianggap sebagai anti-Yahudi, dengan berkata bahawa dia mempunyai hak dalam kebebasan bersuara.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Forum Pemimpin Dunia di universiri itu hari ini, selepas salah seorang penonton membangkitkan tentang kenyataannya itu.
"Saya melaksanakan hak saya dalam kebebasan bersuara. Kenapa saya tidak boleh mengatakan sesuatu terhadap orang Yahudi apabila banyak orang mengatakan perkara jahat tentang saya dan tentang Malaysia, dan saya tidak membantah? Saya tidak berdemonstrasi.
"Kita perlu bersedia untuk mendengar pandangan yang tidak memihak kepada kita, kerana kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara adalah tentang bebas bersuara.
"Apabila anda berkata, 'Tidak, anda tidak boleh mengatakan ini. Anda tidak boleh menjadi anti-Yahudi' maka tidak ada lagi kebebasan bersuara," kata Dr Mahathir.
Ceramah itu disiarkan secara langsung melalui pelbagai saluran, termasuk salah satu halaman Facebook RTM.

Penonton, yang memperkenalkan dirinya sebagai ahli Pelajar Penyokong Israel di Columbia University, meminta Dr Mahathir untuk menjelaskan kenyataannya dalam wawancara BBC yang menyentuh tentang jumlah orang Yahudi terbunuh dalam Holocaust.
"Columbia University adalah pusat dunia dalam kajian Yahudi. Ketika anda datang ke tempat seperti Columbia University, kenyataan seperti itu menjadikan anda provokatif perkauman atau jahil. Sila jelaskan kedudukan anda mengenai Holocaust," kata penonton berkenaan.
Dr Mahathir berkata beliau tidak membantah atau mempersoalkan bilangan orang yang terkorban dalam Holocaust, namun katanya, beliau sekadar menyorot bahawa sumber yang berbeza memberikan anggaran yang berbeza mengenai jumlah kematian bergantung kepada sama ada mereka "menyokong" atau "menentang".
"Jadi, saya menerima bahawa terdapat Holocaust dan terdapat banyak orang Yahudi yang dibunuh. Sebenarnya, pada suatu ketika, saya sangat bersimpati terhadap mereka ... Semasa perang, ketika anda tidak ada tetapi saya berada di sekitar waktu itu, " katanya.
Penonton kemudian berkata neneknya masih hidup semasa Holocaust, yang mana Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepadanya dan mengakhiri perbualan itu.
Kehadiran Dr Mahathir di universiti itu telah mencetuskan kontroversi kerana kenyataannya yang disifatkan sebagai anti-Yahudi.
Meskipun universiti itu mempertahankan keputusan menjemput Dr Mahathir, namun institusi berkenaan menegaskan bahawa pandangan "anti-Yahudi" perdana menteri itu perlu dikecam.
Ketika memperkenalkan Dr Mahathir pada awal perbincangan hari ini, seorang wakil universiti, Vishankha Desai, penasihat hal ehwal global senior kepada presiden universiti itu Lee Bollinger, menyatakan bahawa Dr Mahathir telah membuat kenyataan yang menyinggung ketika melawat universiti di UK awal tahun ini.
Vishanka juga menyorot bahawa Malaysia telah mengharamkan perenang Israel daripada menyertai pertandingan yang diadakan di Kuching , Sarawak.
"Jelas, sikap sedemikian benar-benar bertentangan dengan apa yang kita ada.
"Dalam satu surat kepada beberapa kumpulan pelajar yang telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai lawatan Dr Mahathir ke Columbia University, presiden Bollinger menawarkan perspektif berguna ini: 'Membuka penglibatan awam kadang-kadang sukar, bahkan menyakitkan. Tetapi untuk meninggalkan aktiviti ini, kita akan mengehadkan keupayaan kita untuk memahami dan berhadapan dengan dunia seperti ini, yang merupakan misi penting dan utama bagi mana-mana institusi akademik, " katanya.

