Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan tegas pada pembunuh gajah katik di Sabah
Diterbitkan:  Sep 28, 2019 2:59 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Kerajaan Sabah mahu tindakan tegas dikenakan kepada pembunuh anak gajah pygmy (katik) yang ditemukan mati dengan kesan tembakan di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan dekat Tawau.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P Alian berkata sekiranya siasatan terhadap kematian gajah itu menjurus kepada kes jenayah maka tindakan tegas perlu diambil.

"Kita (kerajaan) berusaha keras menjaga hidupan liar, alam semula jadi yang ada di negeri ini, tetapi masih berlaku perkara begini, paling menyedihkan anak gajah itu dibunuh, lepas itu diikat, kemudian dibuang ke sungai dengan kesan tembakan," katanya kepada pemberita selepas Tropical Rainforest Run 2019 di Tawau, hari ini.

Menurut Assafal, kerajaan kesal dengan kejadian seumpama itu kerana individu tidak bertanggungjawab ini tidak dapat melihat kesungguhan dalam memelihara spesies dilindungi untuk generasi masa hadapan.

"Kita tidak mahu hidupan liar ini akhirnya tinggal dalam bentuk gambar atau penceritaan semata-mata, kita (generasi hari ini) harus meninggalkan satu legasi baik untuk generasi masa hadapan," katanya.

Beliau dalam pada itu, berkata kementeriannya sentiasa berusaha memperkemaskan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 bagi mengekang aktiviti pembunuhan spesies haiwan dilindungi di Sabah.

Pada Khamis lepas, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan dekat Tawai dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.

Gajah betina itu ditemui dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai dan pemeriksaan awal pasukan Jabatan Hidupan Liar mengesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan, akibat tembakan senjata api.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS