Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan 114 tokan dadah di Pulau Pinang
Diterbitkan:  Sep 28, 2019 3:14 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Polis menahan 114 orang bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM109,259 dalam Op Damn Tokan selama dua hari bermula Khamis lepas yang menyasarkan pengedar dadah kecil-kecilan di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd berkata operasi hasil kerjasama JSJN Bukit Aman dan polis kontinjen Pulau Pinang itu adalah usaha berterusan pihaknya dalam mengekang dan mengurangkan pembekalan dadah.

"Dalam operasi itu, seramai 114 pengedar dadah kecil-kecilan berusia 18 hingga 45 tahun ditahan di Pulau Pinang dan polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 2,709.23 gram bernilai RM109,259.

"Fokus operasi JSJN kali ini adalah kepada tokan-tokan yang menjual dadah secara kecil-kecilan dan tindakan mereka menyusahkan keluarga (penagih) dan masyarakat kerana menjual dadah secara runcit," katanya pada sidang akhbar, di George Town hari ini.

Beliau berkata menerusi operasi itu polis turut menyita pelbagai kenderaan termasuk motosikal dan kereta milik tokan-tokan berkenaan bernilai RM170,700 yang digunakan oleh mereka dalam menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

Mohd Khalil berkata polis turut merampas wang dalam akaun sebanyak RM1,548.76 dan wang tunai berjumlah RM3,800 daripada mereka dalam operasi itu.

"Polis akan memperhebatkan rampasan harta benda dengan menyita harta milik mereka tidak kira sama ada tokan-tokan itu menggunakan basikal, motosikal dan kenderaan lain atau rumah tempat mereka berniaga (dadah)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 137,225 orang termasuk 10,096 di Pulau Pinang ditahan JSJN sejak Januari hingga semalam kerana pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Menurutnya sepanjang tempoh sama sebanyak 5,572.53 kilogram (kg) dadah sintetik seperti syabu, ketamin dan pil eramin 5 serta 1,135.69 kg dadah tradisonal iaitu heroin serta ganja dirampas membabitkan nilai keseluruhan RM2,691.71 juta.

"Nilai sitaan harta pula RM62.81 juta dan nilai harta yang dilucuthak ialah RM2.16 juta sepanjang tempoh Januari hingga semalam," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS