Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M kata kekal PM 3 tahun atau 3 tahun lagi?
Diterbitkan:  Sep 28, 2019 9:40 PM
Dikemaskini: 1:41 PM

SEMAK FAKTA | Kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mempunyai masa tiga tahun lagi untuk mengetuai kerajan dilaporkan secara meluas semalam.

Kenyataan itu mengecewakan sesetengah pihak, terutama di kalangan mereka yang mendakwa pemimpin berusia 94 tahun itu memungkiri janji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun Pakatan Harapan berkuasa.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati kenyataan Mahathir telah disalah petik.

Kebanyakan media menyiarkan laporan Bernama edisi bahasa Inggeris bertajuk "Three more years at the most - Mahathir", manakala laporan berbahasa Melayu diterjemahkan sebagai "Paling lama pun Tiga Tahun."

Namun dalam artikel itu, Mahathir dipetik sebagai berkata "Saya mungkin ada masa paling lama pun tiga tahun".

Tinjauan Malaysiakini pada video ceramah beliau di New York yang disiarkan pada Facebook RTM Khamis lalu mendapati bahawa petikan itu adalah tepat.

Petikan ucapan beliau (minit 9:10-9:31) adalah seperti berikut:

"Tugas sangat sukar sekarang. Saya perlu bekerja 18 jam sehari, kerana saya tak mempunyai banyak masa.

"Saya berjanji bahawa saya akan meletak jawatan sebelum pilihan raya akan datang dan memberi laluan kepada calon lain. Jadi, saya mungkin ada masa paling lama pun tiga tahun. Dan dalam masa tiga tahun ini saya perlu capai banyak perkara".

Ini bukan kali pertama Mahathir menyebut bahawa beliau akan kekal memegang jawatan PM selama tiga tahun, walaupun menyangkalnya dengan mengatakan tiga tahun itu adalah masa diperlukan untuk memperbetulkan banyak perkara.

Bagaimanapun, ini bercanggah dengan perjanjian beliau dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam masa dua tahun. 

Anwar sendiri, percaya peralihan kuasa akan berlaku tahun depan.

Bagaimanapun, sesetengah penyokong Mahathir dan penentang Anwar berkata perdana menteri ketujuh itu perlu berkhidmat sehingga habis penggal.

Lihat Komen
ADS