Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pekerja syarikat penghantaran makanan dalam talian, Foodpanda di luar Lembah Klang merancang melancarkan mogok minggu depan berikutan skim pembayaran baru yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka, meskipun syarikat itu menafikannya.

Mogok itu dirancang bermula Isnin depan, apabila skim pembayaran baru itu mula dilaksanakan.

Seorang penghantar makanan yang enggan namanya disiarkan, berkata mogok itu akan berlangsung di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan selama tiga hari.

"Foodpanda akan menanggung rugi. Ia (mogok) akan jadi satu kesan yang terlalu besar," katanya menambahkan mogok tersebut kemudian akan diteruskan di Ipoh dan Pulau Pinang.

Tambahnya, meskipun skim pembayaran baru itu tidak dikuat kuasakan di Kuala Lumpur namun kemungkinan besar bandar raya itu dan Selangor akan turut menerima kesan.

Sementara itu Oriental Daily pula melaporkan penghantar makanan Foodpanda di Pulau Pinang merancang untuk melancarkan mogok selama seminggu bermula Isnin.

Malam semalam, protes dilaporkan berlaku di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Pada masa ini, penghantar Foodpanda dibayar RM4 sejam, dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penunggang.

Menerusi skim pembayaran baru itu, Foodpanda menghapuskan bayaran setiap jam dengan meningkatkan bayaran setiap pesanan antara RM4.50 hingga RM7.

“Sistem ini memastikan bahawa penghantar makanan yang mahu bekerja lebih akan menerima kuantiti penghantaran tinggi disediakan kepada mereka dan sebaliknya," kata Pengarah Urusan Foodpanda Sayantan Das dalam satu kenyataan dipetik Bernama.

"Oleh kerana penghantar makanan bekerja dengan Foodpanda secara bebas, skim yang disemak semula itu akan membolehkan mereka memperoleh lebih banyak pendapatan berasaskan kepada pesanan yang mereka terima,” tambahnya.

Selain itu penghantar makanan juga diberi insentif dengan bonus RM100 selepas menyelesaikan 60 jam bekerja seminggu.

"Di samping itu, mereka juga menerima tambahan RM1 bagi setiap pesanan antara pukul 11 malam hingga 9 pagi setiap hari," katanya.

Syarikat itu berkata sekiranya penghantar makanan melengkapkan tiga penghantaran sejam dan bekerja 30 jam seminggu, mereka boleh mendapatkan sehingga RM630 setiap minggu.

Skim pembayaran baru itu membayar lebih bagi setiap pesanan diterima berbanding kadar semasa.

Bagaimanapun, Oriental Daily melaporkan penghantar Foodpanda mengadu perlu menunggu dua hingga tiga jam tanpa menerima sebarang pesanan.

"Ini bermakna mereka tidak boleh mendapat bayaran penghantaran mereka. Di bawah skim baru, pendapatan penghantar akan dikurangkan.

"Sebagai perbandingan, bayaran sebelum ini adalah RM4 sejam, membolehkan mereka mendapat gaji asas walaupun tidak menerima sebarang pesanan," lapor akhbar harian bahasa Cina itu.

Lihat Komen
ADS