PH adakan taklimat jentera PRK Tg Piai esok
Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai termasuk mengadakan beberapa mesyuarat dan memperkemaskan logistik.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub berkata beliau dan Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal juga akan mengadakan taklimat bersama jentera PH di Pontian esok, bagi melancarkan PRK berkenaan.
"Rakan-rakan di dalam PH hari ini sudah mula menggerakkan usaha dengan memastikan pusat dan pejabat-pejabat pilihanraya sudah dibuka. Kita (PH) sedang tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya. (pengumuman tarikh penamaan calon dan hari mengundi).
"Dari segi persediaan sama ada mesyuarat dan logistik, sedang diperkemas. Saya sudah memimpin mesyuarat minggu lepas di Tanjung Piai dan sekarang hampir setiap malam kita ada mesyuarat di unit-unit peti undi untuk mereka (jentera) siapkan apa yang penting," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan baka baharu kambing dan merasmikan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Ternakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di Kluang hari ini.
Sementara itu, mengenai Belanjawan 2020, Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata beliau yakin pertemuannya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, baru-baru ini akan membuahkan hasil dalam meningkatkan sektor penanaman padi, perikanan dan agro makanan negara.
"Secara amnya, saya telah jumpa Menteri Kewangan, kita (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) telah nyatakan bidang-bidang tertentu, sektor yang perlu kepada penambahan bajet.
"Saya yakin pertemuan saya dengan Menteri Kewangan akan membuahkan hasil tetapi dari segi angkanya, kita tunggu hari belanjawan nanti. Sektor padi, perikanan, nelayan dan kita tumpukan agro makanan. Yang penting, kita tingkatkan peranan kementerian supaya agro makanan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.
Kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai berlaku berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Mh Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Hospital Pontian, Johor, pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.
Allahyarham, yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
- Bernama

