Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M ucap takziah atas kemangkatan Sultan Ismail Petra

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Sultan Ismail Petra, ayahanda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang mangkat pada awal Sabtu.

"Saya merasa sedih dengan berita kemangkatan bekas Sultan Kelantan itu dan saya ucapkan takziah kepada keluarga Almarhum," kata Dr Mahathir kepada wartawan Malaysia pada Sabtu di akhir lawatan kerja lima harinya ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dr Mahathir berkata Almarhum gering sejak sekian lama dan tidak dapat menjalankan tugas yang diambil alih oleh anak baginda.

"Tetapi semasa Almarhum menjadi raja, saya ada hubungan yang baik dengan baginda. Saya dapati baginda seorang yang cukup tertib dan mudah untuk bekerjasama," kata perdana menteri.

Sultan Ismail Petra diputerakan pada Jumaat, 11 Nov, 1949. Baginda memerintah Kelantan dari 30 Mac 1980 sehingga Mei 2009.

Baginda kemudiannya digantikan putera sulungnya Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan, akibat gering.

Baginda mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS