Shafie: K'jaan tak abai taraf ekonomi masyarakat pribumi Sabah
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri dan pusat tidak pernah mengabaikan kepentingan untuk menaikkan taraf ekonomi masyarakat pribumi di Sabah.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan sentiasa komited dan proaktif untuk memastikan perkara itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Perkara ini adalah merupakan isu hak asasi manusia (meningkatkan taraf hidup orang asal Sabah). Oleh itu ia merupakan isu yang perlu ditangani untuk mengekalkan kestabilan politik jangka panjang di Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis Upacara Angkat Sumpah Jawatan Kongres Kebangsaan Momogun (MNC), di Kota Kinabalu malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick dan turut hadir Penasihat MNC, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Presiden baharu MNC bagi 2019-2022, Tan Sri Wences Angang.
Mohd Shafie berkata membasmi kemiskinan sentiasa menjadi perhatian utama kerajaan Sabah yang kini diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita Sabah telah menunjukkan peningkatan yang ketara, ini tidak dapat dilihat sepenuhnya dalam kalangan penduduk luar bandar terutama yang tinggal di kawasan pedalaman Sabah yang kebanyakannya adalah komuniti pribumi.
“Memandangkan sumber terhad kerajaan dan keluasan geografi yang dihuni komuniti pribumi Sabah, kerajaan perlu mencari kaedah baharu agar dapat menjangkau semua komuniti berkenaan dengan berkesan. Oleh itu penglibatan dan kerjasama NGO seperti MNC sangat penting untuk membantu kerajaan menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata kerjasama daripada MNC adalah selaras dengan objektif utama pertubuhan itu untuk menaikkan taraf ekonomi masyarakat pribumi di Sabah yang sebahagian besarnya melalui bantuan diri, selain memanfaatkan apa sahaja bantuan yang diberikan oleh kerajaan.
- Bernama

