Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan menyampaikan ringkasan hasil penemuan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) esok dan laporan penuh dalam masa terdekat, kata pengerusinya, Eddin Khoo.

Mengulas keputusan kerajaan Sabah mengiktiraf UEC, Khoo berkata sebarang keputusan mengenai UEC oleh kerajaan negeri tidak akan mempengaruhi penemuan jawatankuasa itu.

"Esok ada mesyuarat. Terdapat dua fasa - penemuan dan cadangan, dan laporan akhir yang ditulis.

"Esok adalah yang pertama ... Laporan bertulis akhir akan dihantar tidak lama lagi.

"Saya tidak akan menyatakan tarikh akhir (untuk mengemukakan laporan akhir) tetapi tidak lama selepas laporan bertulis sudah selesai," kata Khoo kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Walaupun laporan akhir itu pada mulanya dijadualkan pada Julai, Khoo berkata dia sudah memohon untuk dilanjutkan tempoh memandangkan ia merupakan isu yang serius dan kerja yang diperlukan sangat komprehensif.

Antara yang dilakukan oleh jawatankuasa itu, kata Khoo, mereka menemu bual 72 individu, kumpulan, dan parti politik dan pandangan setiap satunya akan dipertimbangkan dan dimasukkan dalam laporan bertulis.

"Semuanya dilakukan secara komprehensif, bukan secara lisan sahaja," katanya.

Khoo juga ditanya mengenai keputusan kerajaan Sabah untuk mengiktiraf pemegang UEC sebagai syarat untuk kemasukan dalam institusi pendidikan tinggi serta pekerjaan perkhidmatan awam.

"Keputusan kerajaan negeri individu tidak mempengaruhi keputusan dan penemuan jawatankuasa.

"Kami adalah jawatankuasa penyelidikan bebas yang diberi tugas memeriksa isu ini dalam semua dimensinya dan memberikan konteks komprehensif kepada isu yang telah berlangsung selama beberapa dekad," katanya.

Semalam, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang juga merupakan presiden Warisan memaklumkan pengiktirafan UEC oleh kerajaan negeri itu.

UEC adalah peperiksaan yang diambil oleh pelajar-pelajar di sekolah-sekolah swasta Cina.

Ogos tahun lau, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan menyatakan ia akan memutuskan sama ada untuk mengiktiraf UEC selepas kajian terperinci dalam tempoh lima tahun akan datang.

PH kemudiannya menubuhkan pasukan petugas pada bulan Oktober untuk mengkaji pengiktirafan UEC.

Lihat Komen
ADS