Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengerusi DAP Johor meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 29, 2019 2:47 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Bekas pengerusi DAP Johor Ahmad Ton, 70, meninggal dunia 6.20 pagi tadi di kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam kenyataan medianya hari ini yang turut berkongsi kisah penyertaan Ahmad sebagai antara orang Melayu awal menyertai DAP.

"Ahmad Ton menyertai DAP pada tahun 1975, sewaktu tidak ramai orang Melayu terfikir untuk menyertai DAP.

"Beliau pernah memberitahu saya bahawa beliau amat tertarik dengan komitmen DAP terhadap politik yang tidak berasaskan perkauman.

"Namun keluarganya tidak menyokong penyertaan beliau ke dalam DAP, maka beliau mesti menunggu sehingga arwah bapanya meninggal dunia sebelum dapat menyertai parti," katanya.

Ahmad merupakan pengerusi DAP Johor bagi tempoh 2004-2005, kemudian sebagai naib pengerusi dari 2005 hingga 2013, selain memegang jawatan anggota jawatankuasa negeri.

Ahmad juga pernah menjadi Timbalan Setiausaha Agung DAP (2004-2008) serta menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dari 1982 hingga 2012.

Tambah Liew, sejak mula bertanding pada 1982, Ahmad berjuang "tanpa rasa gentar" di kubu kuat BN termasuk di Tanjung Piai dan Labis.

"Perjalanan DAP di bekas kubu BN di Johor bukanlah jalan mudah untuk veteran-veteran parti. Tambah sukar pula menjadi seorang Melayu di dalam DAP, dalam keadaan politik Johor sebelum ini.

"Iltizam teguh Ahmad Toh serta keperwiraan beliau dalam perjuangan bagi sebuah negara yang lebih baik, yang telah merintis jalan bagi Pakatan Harapan untuk berjaya di peringkat nasional dan di negeri Johor.

"Ucapan takziah saya buat keluarga Ahmad Ton atas pemergian beliau. Bagi pihak DAP, saya mengucapkan terima kasih terhadap kesetiaan, khidmat bakti dan pengorbanan beliau selama ini," kata Liew yang juga merupakan timbalan menteri pertahanan.

Ketua Pemuda DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menganggap pemergian beliau satu kehilangan yang besar buat DAP.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Padang Sari, di sini, kira-kira 12.30 tengah hari tadi.

Lihat Komen
ADS