Ahli Parlimen Kangar Amin Ahmad mahu mengheret beberapa individu ke mahkamah kerana didakwa memfitnah dengan menuduhnya memberi tekanan kepada seorang jururawat dalam kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Amin berkata pengguna Facebook bernama 'Tun Carlos' merupakan antara individu yang akan dinamakan dalam samannya itu.

"Berebut cybertrooper (laskar siber) minta saya jemput mereka ke mahkamah ni. Sabarlah. Beratur elok-elok. Di senarai atas kita jemput Tun Carlos dulu," katanya dalam kenyataan di Facebook dua hari lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Amin berkata dia sudah merujuk perkara itu kepada peguam dan sedang menunggu maklum balas.

"Saya sudah menghubungi peguam dan sedang menunggu maklum balas. Saya juga akan buat laporan polis dan rujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)," katanya.

Pada 27 Sept lalu, pengguna Facebook bernama 'Tun Carlos' menyifatkan pemimpin PKR itu memberi "tekanan" kepada jururawat bernama 'Cik Miera' dalam kes kematian anggota bomba berkenaan.

Berhubung tuduhan sama, pada Mac lalu, Amin turut membuat laporan polis terhadap Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.

Menafikan tuduhan Lokman ketika itu, Amin, yang juga Ketua Cabang PKR Kangar berkata beliau menghantar mesej kepada 'Cik Miera' untuk memintanya tampil menjadi saksi pada inkues Muhamad Adib selepas gadis itu mengeluarkan kenyataan di laman sosial berhubung kes berkenaan.

"Saya minta gadis itu memberi keterangan dan tidak menyembunyikan kebenaran jika kenyataannya itu benar," katanya.

Sementara itu, diminta mengulas sama ada Lokman akan turut dinamakan dalam samannya, Amin berkata: "Sekali lah tu. Sebelum ini, peguam nasihatkan untuk tunggu inkues selesai.

"Jadi, kini selepas inkues selesai, saya hubungi peguam semula dan dia (peguam) akan meneliti perkara ini."

Ditanya sama ada dia mempunyai tarikh tertentu untuk memfailkan saman itu, Amin berkata ia bergantung kepada maklum balas peguam dan jadualnya.

"Saya tunggu maklum balas peguam, memandangkan ia juga akan melibatkan kos kewangan. Saya perlu dengar terma dan syarat dari peguam, selain jadual kerja saya sendiri kerana sidang parlimen akan bermula tidak lama lagi.

"Saya juga tunggu, jika dia (Tun Carlos) baca (kenyataan saya), apa respons dia. Jika dia jual, saya beli," katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua individu yang tidak diketahui, selain kegagalan polis mengawal rusuhan yang berlaku di kuil Seafield, USJ25 Subang Jaya pada November tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian Adib.