Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nurul Amal beri keterangan di Bukit Aman hari ini

Naib Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi hari ini hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata ini susulan kenyataan yang menyifatkan kematian seorang penyerang berparang di Bayan Lepas, Pulau Pinang sebagai mati syahid.

Jelasnya, satu laporan polis dibuat semalam oleh anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima Syerleena Abdul Rashid susulan perkara berkenaan.

“Ekoran dari laporan tersebut kita telah panggil naib ketua puteri Umno pada pukul 10 pagi tadi dan beri keterangan kepada pegawai yang buat siasatan,” katanya pada pemberita di sidang media harian PDRM di ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.

Polis turut berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 24 Sept lepas, Nurul Amal dalam ceramah di Kota Bharu, Kelantan menggelar Mohd Khairil, 25, yang mati ditembak polis di Bayan Lepas selepas mengamuk, sebagai “syuhada” dan “assyahid”.

Dalam kejadian itu, Muhammad dilaporkan menetak mati seorang wanita 47 tahun.

Lihat Komen
ADS