Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Veteran PAS sedia masuk tokong terang agenda Muafakat Nasional

Veteran PAS sedia masuk tokong sekiranya perlu bagi memberi penjelasan mengenai agenda Muafakat Nasional antara parti itu dan Umno.

Pengerusi Assabiqun PAS, Subky Latif, berkata penting untuk mereka memberi pemahaman kepada bukan Melayu tentang agenda besar Muafakat Nasional.

"Kalau orang Cina kata tak ada tempat...kalau adakan (sesi) penerangan (Muafakat Nasional) di tokong pun kita akan pergi," katanya pada sidang media bersama Veteran Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Subky berkata, pihaknya bersama Veteran Umno akan mengadakan program bagi memberi penerangan kepada seluruh masyarakat tentang agenda Piagam Muafakat Nasional.

Umno dan PAS mencatat sejarah baru apabila secara rasmi menjalinkan kerjasama politik pada 14 Sep lalu dengan memeterai Piagam Mufakat Nasional.

Piagam berkenaan ditandatangani kedua-dua pemimpin utama parti itu iaitu, Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Kira-kira 25,000 hadir menyaksikan pelancaran Piagama Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah itu.

Dalam pada itu Subky berkata, veteran PAS dan Umno menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan parti masing-masing bagi menjayakan Muafakat Nasional.

Mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa akar umbi PAS mahupun Umno kurang senang dengan Muafakat Nasional, Subky berkata: "Setiap manusia dilahirkan bebas, tentulah ada padangan-pandangan berbeza. Sekalipun ada perbezaan...untuk membentuk Muafakat Nasional adalah perkara paling besar yang mengatasi segala kelemahan."

Sementara itu, Pengerusi Veteran Umno, Othman Desa, berkata pada mesyuarat itu pihaknya bersama Assabiqun PAS akan menganjurkan sidang khas bagi membincangkan Piagama Muafakat Nasional.

Katanya, sidang khas itu akan diadakan sebelum perhimpunan agung Umno yang dijadualkan pada pertengahan bulan Nov nanti.

"Program ini akan diadakan dua tiga hari sebelum perhimpunan agung Umno, ia bertujuan untuk memberi penjelasan tentahg Piagama Muafakat Nasional khususnya kepada rakan-rakan gabungan kita.

"Kita mahu melihat agenda besar ini membawa kebaikan kepada negara, jadi kita tidak mahu ada kawan-kawan yang boleh jejaskan Muafakat Nasional," katanya.

Lihat Komen
ADS