Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kongres Maruah Melayu ini jawapan kepada pencabar’

Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober ini adalah jawapan pihak yang cuba mencabar kedudukan Melayu di negara ini, kata ketua eksekutif sekretariat kongres itu Dr Zainal Kling.

"Kebanyakan persoalan yang muncul itu bukan saja merendahkan Melayu tetapi kita juga dapati mereka mempersoalkan kebumiputeraan orang Melayu, kedudukan raja-raja, merendahkan dan mempersoalkan Islam dan juga isu-isu kebudayaan seperti bahasa kebangsaan.

"Dan ini yang menyebabkan kita menganjurkan kongres ini.

"Kerana segala persoalan yang ditimbulkan itu sudah mencabar maruah Melayu sehingga bangsa Melayu bukan saja rasa tercabar tapi bahkan dipermainkan, direndahkan dan diremehkan," katanya lagi.

Zainal tidak merujuk kepada mana-mana kes atau kenyataan secara khusus.

Beliau tidak menyebut secara khusus siapakah “mereka” dimaksukannya dalam sidang media di Kuala Lumpur itu.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Malaysiakini selepas itu, belia mengesahkan merujuk kepada sesetengah kaum bukan Melayu.

Zainal bagaimanapun memberitahu kongres itu hanya akan menjawab persoalan berkaitan dengan kedudukan Melayu, Islam dan kebudayaan secara terbuka serta berilmiah dan bukannya beremosi.

Tambahnya lagi, program ini juga adalah bermatlamatkan perpaduan supaya rakyat berbilang kaum dapat hidup bersama sebagai warganegara Malaysia.

‘Ikut perlembagaan, bukan takrifan ahli politik’

Zainal pada masa yang sama menggesa rakyat Malaysia mengikuti perlembagaan negara, bukannya seperti yang ditakrifkan oleh parti politik.

"Mereka mesti menerima ini sebagai negara Malaysia dengan agama Islam sebagai rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

"Ini sepatutnya menjadi pegangan warga Malaysia bukan seperti apa yang dicanangkan oleh parti-parti politik tertentu bahawa Malaysia itu begitu begini," tambahnya lagi.

Dalam kongres sehari di Stadium Malawati, Shah Alam itu, lima bidang utama yang bakal diberi fokus oleh universiti-universiti tersebut adalah persoalan politik, ekonomi, pendidikan serta kebudayaan dan agama.

Kongres tersebut juga dijangka bakal dihadiri oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang dijadual menyampaikan amanat dalam majlis tersebut.

Dr Zainal juga dalam kenyataannya pada hari ini mendedahkan terdapat beberapa lagi program yang berkonsepkan penyatuan kaum sedang dirancang oleh beberapa badan seperti Majlis Profesor Negara dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat menurutnya.

"Ini menggambarkan suatu fenomena kerana keadaan kegelisahan bangsa Melayu," katanya.

Lihat Komen
ADS