Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HKL akan panggil bekas kakitangan, siasat ketua jabatan 'pilih kasih'

Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan memanggil beberapa bekas kakitangannya bagi membantu siasatan selepas mereka didakwa berpindah ke hospital lain kerana tidak puas hati dengan seorang ketua jabatan di HKL yang dikatakan bersikap autokrasidan perkauman.

"Pihak hospital sedang mengatur untuk menjemput kesemua bekas anggota untuk disiasat," kata Pengarah HKL Dr Heric Corray menerusi e-mel ketika membalas soalan Malaysiakini berkaitan aduan ini.

Dr Corray juga memaklumkan bahawa pihak hospital menerima aduan ketiga pada 17 September lalu terhadap ketua jabatan tersebut yang turut didakwa memegang jawatan atas 'lantikan politik' kerana hubungan keluarga dengan seorang bekas menteri kanan Umno.

"Dimaklumkan bahawa aduan tersebut hanya diterima pada 17hb September. Surat aduan ini merupakan aduan ketiga HKL terima sehingga ini," jelasnya.

"Siasatan untuk aduan pertama disiasat secara dalaman manakala yang kedua dianggotai oleh seorang dari HKL dan dua lagi dari luar," ujarnya lagi.

Untuk rekod, pada 29 Ogos, HKL memuat naik kenyataan media pengarah HKL di Facebook menyatakan bahawa sebuah Jawatankuasa Penyiasatan Bebas telah diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat siasatan terhadap ketua jabatan itu.

"Siasatan telah pun dilaksanakan terhadapnya. Hasil siasatan mendapati beberapa aduan tidak dapat dibuktikan.

"Walaubagaimanapun, HKL telah mengenal pasti beberapa isu termasuklah berkaitan aspek persepsi dan komunikasi di jabatan tersebut. Susulan itu, perjumpaan pihak pengurusan KKM bersama pegawai yang diadu telah diadakan," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini turut menerima surat aduan ketiga yang mendakwa siasatan HKL sebelum ini sebagai berat sebelah.

Menurut surat itu, beberapa bekas anggota HKL yang didakwa menjadi mangsa tidak dipanggil ke siasatan walaupun nama-nama mereka jelas dimasukkan dalam surat aduan ketiga.

Susulan itu, Malaysiakini menghubungi salah seorang bekas anggota HKL yang dikatakan berpindah kerana tak puas hati dengan ketua jabatan berkenaan, dan dia mengesahkan bahawa dia tidak dipanggil untuk sebarang siasatan.

Bagaimanapun, Dr Corray menjelaskan bahawa nama bekas anggota yang didakwa menjadi mangsa oleh ketua jabatan itu tidak disebut dalam surat aduan yang pertama dan kedua.

Terdahulu, dalam surat aduan ketiga yang diterima Malaysiakini, pengadu mendakwa salah seorang ketua jabatan di HKL dituduh bersikap perkauman dan autokrasi.

Pengadu mendakwa ketua jabatan itu yang memegang jawatannya sejak 2014, bersikap perkauman terhadap pakar-pakar pegawai perubatan bangsa lain.

Surat tersebut ditulis oleh pakar pegawai perubatan yang masih berkerja di jabatan tersebut mengakui pernah membuat dua aduan sebelum ini masing-masing pada Ogos 2018 dan November 2018, namun tiada tindakan tata tertib terhadap ketua jabatan itu.

Penulis surat juga mendakwa bahawa pihak HKL cuba menyembunyikan isu ini dan meminta KKM campur tangan.

Lihat Komen
ADS