Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tindakan Najib selaras dengan sempurna dengan topik perbincangan Jho Low’
Diterbitkan:  Sep 30, 2019 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

KES 1MDB NAJIB l Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau percaya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, diberi mandat oleh Najib Razak untuk mengurus pengeluaran semua bon syarikat dan jaminan International Petroleum Investment Co (IPIC) kerana tindakan yang diambil oleh bekas perdana menteri itu sepadan dengan topik perbincangan yang dihantar kepada beliau oleh Jho Low.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram pada hari ke-15 perbicaraan Najib berhubung 1MDB.

Sri Ram: Anda berkata anda percaya bahawa Jho Low diberi mandat oleh Najib. Apakah alasan anda mempunyai kepercayaan itu?

Shahrol Azral: Kerana pada waktu itu, saya telah memerhatikan tindakan dan topik perbincangan yang dimulakan dari Jho Low dipenuhi dengan tindakan Najib.

Sri Ram: Dalam kata lain, tindakan itu yang diambil oleh tertuduh sepadan dengan topik perbincangan yang dihantar kepada anda oleh Jho Low?

Shahrol Azral: Tindakan sepadan dengan sempurna.

Terdahulu, ketika membaca kenyataan saksinya, saksi menekankan bahawa beliau percaya bahawa Jho Low diberi mandat oleh Najib untuk mengurus semua pengeluaran bond syarikat dan jaminan IPIC.

Mahkamah juga mendengar daripada Shahrol Azral bahawa lembaga pengarah 1MDB pada Oktober 2012 meluluskan syarikat untuk meminjam RM800 juta daripada Affin Investment Bank bagi tujuan mengambilalih Mastika Lagenda.

"Kelulusan itu dibuat oleh lembaga itu menerusi pekeliling pengarah bertarikh 9 Okt, 2012.

"Lembaga juga memberi saya kuasa untuk mengurus perkara berhubung perjanjian dan menandatangani perjanjian bagi pihak syarikat sebagai CEO dan pengarah urusannya,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS