Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Jho Low diberi mandat bawa arahan Najib’
Diterbitkan:  Sep 30, 2019 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

KES 1MDB NAJIB l Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB mendedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low diberi mandat untuk membawa arahan-arahan dari Najib Razak kepada pengurusan 1MDB.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata berdasarkan pengalamannya dengan Jho Low sebelum ini, beliau yakin yang pelaburan dari Abu Dhabi dan Aabar Investment PJS Ltd (Aabar) itu sudah dipersetujui oleh pemilik saham 1MDB iaitu Najib.

Katanya, Jho Low juga ada menegaskan yang semua perkara itu adalah dengan pengetahuan Najib dan terbukti dengan segala persetujuan rasmi yang ditandatangani oleh bekas perdana menteri itu.

“Semua tindakan-tindakan ini adalah konsisten dan meyakinkan saya, walaupun Jho Low tiada kuasa secara rasmi dalam 1MDB, semenjak dari permulaan 1MDB lagi, saya tahu yang Jho Low mempunyai mandat untuk membawa arahan-arahan dari Najib kepada saya dan pengurusan.

“Untuk pelaburan berkaitan TRX (Tun Razak Exchange) ini, memang ia dilakukan dengan sangat cepat, sama dengan projek-projek usahasama PetroSaudi International (PSI) dan pengeluar tenaga bebas (IPP).

“Segala arahan diberikan berserta dengan ‘pre prepared’ dokumen, ‘action plans’ dan juga ‘talking points’. Segala yang berlaku terjadi dari pihak atasan ke bawah iaitu bermaksud, melalui Jho Low dan barulah kemudian ‘legalise’ melalui mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) atau Director Circular Resolution (DCR),” katanya pada hari ke-15 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, sepanjang perkhidmatannya di Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) dan 1MDB, interaksi beliau dengan Jho Low juga adalah melalui BlackBerry Messenger (BBM) dan perjumpaan secara bersemuka.

Membacakan penyataan saksi setebal 270 muka surat, Shahrol Azral berkata perhubungan melalui BBM biasanya digunakan untuk urusan yang memerlukan tindakan segera.

“Saya jarang bercakap dengan Jho Low melalui panggilan telefon dan perjumpaan secara face-to-face juga tidak terlalu kerap. Bagaimanapun, di atas permintaan Jho Low, saya ada beberapa kali berjumpa dengannya di apartmen beliau di Jalan Kia Peng untuk perbincangan idea-idea pelaburan dan high-level direction 1MDB.

“Dalam perbincangan-perbincangan ini saya menganggap maklum balas dari Jho Low adalah maklum balas dari Najib. Terdapat juga di dalam beberapa kali perjumpaan tersebut Jho Low menyampaikan arahan dan mandat dari untuk tindakan saya.

“Saya mendapati memang arahan tersebut datang dari Najib memandangkan sudah beberapa kali apa yang disampaikan oleh Jho Low disahkan oleh Najib. Sebagai contoh, semasa permulaan projek usahasama 1MDB-PSI di mana Najib meyakinkan saya yang projek ini adalah projek G2G (kerajaan dengan kerajaan),” katanya.

Saksi penting pendakwaan itu berkata ini adalah konsisten dengan apa yang diperkatakan oleh Jho Low dan setelah beberapa kali, apa yang dikatakan Jho Low adalah konsisten dengan Najib, oleh itu beliau percaya bahawa kesemua arahan adalah dari Najib sendiri dan Najib tahu segala apa yang dilakukan oleh Jho Low.

Saksi itu berkata berdasarkan Artikel 117 dalam M&A 1MDB, segala keputusan besar dan strategik syarikat mestilah memperoleh kebenaran perdana menteri sebagai Ketua Kerajaan dan Pemegang Saham 1MDB (MOF Inc).

Katanya oleh itu, sekiranya Najib tidak setuju dengan keputusan BOD, maka segala keputusan yang telah dibuat oleh BOD tidak mungkin boleh diteruskan.

“Keputusan dari BOD perlu diluluskan oleh perdana menteri sebagai Ketua Kerajaan dan Pemegang Saham 1MDB (MOF Inc). Ini termasuklah melibatkan keputusan usahasama antara 1MDB dengan Aabar itu,” katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu mahkamah bahawa pada masa itu sudah ada pelbagai cadangan dari Jho Low melalui pelan-pelan perancangan dan maklumat-maklumat melalui emel sulit beliau, mengenai pelaburan dari Abu Dhabi untuk TRX.

Katanya Jho Low ada menyebut yang beliau akan membawa pelaburan dari Abu Dhabi dan saya meminta dia “firm up” (memperkuat) cadangan pelaburan itu.

“Justeru itu, dia memberitahu saya yang pihak Aabar Investments akan melabur dalam satu plot di TRX. Selepas ini, saya menerima melalui emel satu kertas cadangan dari Aabar Investments yang juga mengandungi struktur pelaburan yang dicadangkan,” katanya.

Beliau berkata pelaburan dalam 1MDB GIL (1MDB Global Investment Limited) bermula sejak awal lagi dalam bulan Jun 2012, yang mana Tim Leissner dari Goldman Sachs semasa pembentangan cadangan (proposal) Projek Pelaburan usahasama dengan Aabar selain daripada projek “aquisition IPP”, beliau (Tim) turut mencadangkan projek pelaburan hartanah iaitu KLFID (Kuala Lumpur International Financial District) (kini dikenali sebagai TRX) dan Bandar Malaysia.

Shahrol Azral berkata projek itu dicadangkan untuk dimajukan di bawah 1MDB Real Estate Sdn Bhd dan ini merupakan titik permulaan dalam cadangan usahasama antara 1MDB dengan Aabar selain dari projek IPP.

Saksi itu berkata seawal 9 April 2012 lagi, pihak Aabar telah menghantar sepucuk surat yang dialamatkan kepada 1MDB menzahirkan cadangan awal mereka untuk sama-sama membangunkan Parcel A.1.0 di dalam KLIFD.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS