Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq ajak penghantar Foodpanda berdialog di rumahnya esok
Diterbitkan:  Sep 30, 2019 10:44 PM
Dikemaskini: 2:54 PM

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini membuat undangan terbuka kepada penghantar makanan Foodpanda untuk satu sesi dialog di rumahnya esok.

Ia susulan mogok oleh penghantar makanan syarikat itu, terutama di kawasan luar Lembah Klang, ekoran skim pembayaran baru yang didakwa mengurangkan pendapatan mereka.

"Saya bersimpati dengan pekerja Foodpanda yang kini menuntut pembelaan untuk hak mereka... Maka saya ingin menjemput rakan-rakan (pekerja) Foodpanda dan umum untuk sesi dialog di rumah saya malam esok.

"Saya ingin dengar suara anda supaya isu ini dapat dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada Rabu," katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Dalam hantaran itu, beliau turut menyertakan alamat rumahnya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam skim baru itu, yang berkuatkuasa hari ini bagi penghantar makanan di luar Lembah Klang, bayaran mengikut jam dimansuhkan tetapi pada masa sama bayaran setiap pesanan dinaikkan kepada antara RM4.50 hingga RM7.

Ia berbeza dengan sebelum ini apabila penghantar dibayar RM4 sejam, dan mendapat bayaran tambahan bagi setiap pesanan, manakala bayaran pesanan adalah di antara RM3 hingga RM5 berdasarkan prestasi penghantar.

Pada 28 September lalu, Pengarah Urusan Foodpanda Sayantan Das berkata perubahan itu untuk membolehkan penghantar makanan yang mahu bekerja lebih mendapat kuantiti penghantaran tinggi justeru mendapat lebih pendapatan.

Selain itu penghantar juga mendapat bayaran lain antaranya bonus RM100 jika bekerja selama 60 jam seminggu, kata Sayantan seperti dipetik Bernama.

Bagaimanapun Oriental Daily melaporkan penghantar Foodpanda mengadu perlu menunggu dua hingga tiga jam tanpa menerima sebarang pesanan.

"Ini bermakna mereka tidak boleh mendapatkan bayaran penghantaran. Maka, di bawah skim baru, pendapatan mereka berkurangan.

"Sebagai perbandingan, bayaran sebelum ini RM4 sejam, memberikan mereka pendapatan asas walau jika tidak menerima pesanan," kata laporan itu.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata sistem ekonomi gig ini membawa banyak kebaikan tetapi ia memerlukan satu semak dan imbang yang dapat menjaga hak mereka yang terlibat.

"Majoriti dalam ekonomi gig ini ialah anak muda yang bekerja siang dan malam...Perlu ada semak dan imbang yang menyeluruh untuk mempertahankan nasib pekerja dalam sistem ini," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS