Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pengerusi Umno Perlis, Selangor sokong Hishammuddin jadi SU BN

Dua pemimpin Umno hari ini tampil secara terbuka menyatakan sokongan terhadap cadangan untuk Hishammuddin Hussein sebagai setiausaha agung BN dan berharap ia disegerakan.

Pengerusi Umno Perlis Shahidan Kassim, berkata Hishammuddin mempunyai kelayakan dan wajar untuk memegang jawatan itu bagi membantu memperkuatkan BN.

"Saya difahamkan MCA dan MIC setuju jika Hishammuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung BN. Kalau MCA dan MIC setuju, sewajarnya Umno juga tidak mempunyai masalah, yang penting keputusan dibuat secara konsesus.

"Saya rasa Umno tidak perlu tangguh lagi (untuk melantik Hishammuddin)," katanya kepada Malaysiakini.

Sebagai pembangkang, katanya, BN memerlukan individu berpengalaman dalam barisan kepimpinan dan Hishammuddin yang juga bekas menteri pertahanan menepati ciri tersebut.

"Sebagai pembangkang kita berhadapan banyak perkara dan memerlukan individu berpengalaman di barisan depan. Hishammuddin ada banyak pengalaman, (beliau) bekas naib presiden Umno dan kita memerlukannya untuk bersama-sama memperkukuhkan BN," kata anggota parlimen Arau itu lagi.

Semalam, Umno Johor secara terbuka menyatakan sokongan agar Hishammuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung BN yang baru bagi menggantikanTengku Adnan Tengku Mansor.

Pengerusinya Hasni Mohamed berkata pelantikan Hishammuddin, yang merupakan bekas naib presiden Umno, akan memperkukuhkan BN.

"Kami bersetuju untuk menyatakan sokongan kita untuk Hishammuddin sebagai setiausaha agung BN, itu satu keputusan yang kita buat dalam badan perhubungan.

"Pada hari ini (Umno) Johor berdiri teguh dengan hasrat untuk memperkukuhkan BN. Kita yakin dengan pelantikan itu ia akan dapat memperkukuhkan lagi BN," katanya dalam sidang media.

Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata BN kini memerlukan pemimpin yang boleh menjadi jambatan menghubungkan pelbagai kaum di Malaysia.

"Hishamuddin saya lihat sangat sesuai dan ada aura itu. BN tidak boleh mempunyai setiausaha agung yg dilihat ingin 'mengumnokan' BN, ia tidak lagi sesuai sekarang.

"Saya setuju dan menyokong Hishamuddin sebagai setiausaha agung BN. Ia sesuai ketokohannya dan hubungannya di dalam dan luar negara," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, spekulasi tersebar mengenai pelantikan Hishammuddin bagi menggantikan Tengku Adnan yang kini berdepan dakwaan rasuah di mahkamah.

Selepas BN tewas dalam PRU ke-14, BN melantik Nazri Aziz sebagai setiausaha agung. Bagaimanapun ketika Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memangku jawatan presiden Umno dan pengerusi BN, beliau berkata pelantikan itu tidak sah.

Justeru Tengku Adnan terus kekal menjalankan tugas sebagai setiausaha agung BN.

Lihat Komen
ADS