Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Johor sokong Hishammuddin dilantik setiausaha agung BN
Diterbitkan:  Sep 30, 2019 8:26 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Umno Johor hari ini secara terbuka menyatakan sokongan untuk bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dilantik sebagai Setiausaha Agung BN yang baru.

Pengerusi Umno Johor, Ir Hasni Mohammad, berkata cadangan pelantikan Hishammuddin bagi jawatan itu bertujuan untuk memperkukuhan BN.

"Kami bersetuju untuk menyatakan sokongan kita untuk Hishammuddin (dilantik) sebagai setiausaha agung BN, itu satu keputusan yang kita buat dalam badan perhubungan.

"Pada hari ini (Umno) Johor berdiri teguh dengan hasrat untuk memperkukuhkan BN.

"Kita yakin dengan pelantikan itu ia akan dapat memperkukuhkan lagi BN," katanya dalam satu sidang media di Johor Bahru, hari ini. Rakaman sidang media itu dikongsikan kepada Malaysiakini.

Hadir sama pada sidang media itu, Hishammuddin dan juga Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Ketika sidang media yang diketuai oleh Hasni itu, Hishammuddin dilihat seolah-oleh terkejut apabila pendirian terbabit diumumkan Umno Johor.

Sebelum ini, spekulasi mengenai perkara itu tersebar dan Hishammuddin dikatakan akan dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Tengku Adnan Tengku Mansor yang kini memegang jawatan itu.

Selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, BN melantik Nazri Aziz sebagai setiausaha agung.

Bagaimanapun, ketika Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menjalankan tugas Presiden Umno dan Pengerusi BN, beliau berkata pelantikan Nazri adalah tidak sah.

Ekoran itu, Tengku Adnan terus kekal menjalankan tugas sebagai setiausaha agung BN.

Sementara itu, Hishammuddin ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau menyambut baik sokongan yang diberikan kepadanya, namun menyerahkan kepada Dewan Tertinggi BN untuk membuat keputusan.

"Saya amat berbesar hati, tetapi pada akhirnya terpulang kepada Dewan Tertinggi BN," katanya.

*Laporan tambahan oleh Haspaizi Zain

Lihat Komen
ADS