Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya diarah keluar 1MDB kerana zahirkan rasa kurang senang'
Diterbitkan:  Oct 1, 2019 11:58 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

KES 1MDB NAJIB l Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB mengesyaki bahawa beliau dikeluarkan daripada 1MDB pada 2013 kerana beliau banyak menzahirkan perasaan kurang senangnya terhadap transaksi-transaksi kewangan yang semuanya dilakukan dengan cepat.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, mendedahkan perkara itu ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib Razak melibatkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram.

Beliau yang dilantik sebagai CEO Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) pada 23 Mac 2009, dan selepas itu CEO 1MDB telah diarahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) pada 15 Mac 2013, di mana unit itu terletak dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

TIA ditukar nama kepada 1MDB pada 25 September 2009.

"Saya mengesyaki yang saya dikeluarkan dari 1MDB kerana pada masa itu saya banyak menzahirkan perasaan kurang senang saya terhadap transaksi-transaksi kewangan yang semuanya dilakukan dengan cepat.

"Walaubagaimanapun saya masih dalam lembaga pengarah 1MDB pada masa itu, dengan alasan diberikan oleh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho) untuk manage optics," kata saksi itu.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata,selepas kecoh isu 1MDB pada 2015 dan 2016, Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB dengan sebulat suara membuat cadangan kepada Najib untuk resign tetapi mereka diarahkan untuk stay sebagai BOD, sehingga (BOD) baru dilantik pada 2016.

Ketika ditanya Sri Ram, adakah BOD baru digantikan pada 2016, saksi berkata "Ya".

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS