Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Polis perlu berani akui hakikat kesalahan sendiri

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menegur anggota polis supaya berani mengakui kesalahan yang telah sekian lama terpalit dengan pasukan beruniform tersebut termasuk kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penagihan dadah.

Bercakap di hadapan anggota polis di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Kuala Lumpur, beliau mengingatkan supaya polis menumpukan usaha mempertingkatkan profesionalisme dan integriti diri sekembalinya bekerja.

"Kita mesti berani mengakui hakikat bahawa PDRM sudah sekian lama dibelenggu pelbagai kesalahan diri sendiri, rasuah, salah guna kuasa, penagihan dadah dan pelbagai lagi kesalahan-kesalahan yang telah sekian lama dilakukan oleh bukan segelintir tetapi ramai di antara ktia.

"Jadi kita mesti berani mengakui hakikat tersebut supaya kita dapat menoleh ke hadapan memandang ke hadapan untuk mengubah diri kita.

"Dan sudah beberapa kali saya katakan dalam forum-forum sebelum ini, sekiranya kita masih lagi sombong, mementingkan diri sendiri, dan enggan mengakui kesalahan kita tidak akan ke mana-mana," katanya.

Beliau hadir berucap bagi majlis penutupan kursus program ijazah sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisian), Program Diploma Siswazah Sains Kepolisian (DSSK) dan Program Diploma Eksekutif Sains Siasatan (DESS) sesi 2017/2019.

Meskipun tidak menujukan secara khusus isu yang dimaksudkan itu, tetapi ia dipercayai merujuk kepada berita-berita yang pernah melibatkan anggota polis dengan rasuah.

"Slogan yang kita canang-canangkan untuk menjadikan pasukan PDRM ini sebagai bertaraf world class akan menjadi omong-omong kosong saja.

"Jadi selama ni, kita telah berusaha banyak mengaburi mata masyarakat dengan melaung-laungkan slogan bahawa PDRM ni adalah pasukan di mana negara banyak terhutang budi kerana kita telah pun bersama-sama dengan angkatan tentera, telah berjaya menewaskan pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya dan kejayaan inilah yang kita momok-momokkan di mana-mana saja.

"Dan yang paling menyedihkan ialah apabila sejarah kejayaan ini kita gunakan untuk nak menggertak kerajan supaya kita diberikan layanan yang lebih daripada sepatutnya.

"Ini adalah satu perbuatan yang tak baik," katanya.

Beliau juga berkata supaya anggota polis tidak menghancurkan perjuangan pejuang dari generasi terdahulu yang telah berjuang demi negara dengan rasuah.

"Kita mesti ingat tuan-tuan, puan-puan, rasuah itu menghancurkan tamadun. Tamadun bangsa, tamadun agama tak kira.

"Sejarah beribu tahun mengajar kita bahawa pneyelewengan rasuah tu menghancurkan sesebuah empayar. Mengapa kita mesti mengulanginya?," katanya.

Tambahnya, sesungguhnya pasukan PDRM memikul satu amanah yang amat besar untuk memastikan keselamatan masyarakat kekal terpelihara dan kedualatan negara tidak dinodai.

Lihat Komen
ADS