Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli parlimen PH buat pemukiman bincang RUU, isu panas

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan menghadiri pemukiman hujung minggu ini menjelang sesi parlimen yang akan datang, yang akan bermula pada 7 Okt untuk membincangkan dan merangka mengenai rang undang-undang yang akan dibentangkan.

Antaranya termasuklah Belanjawan 2020, rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC), Kertas Putih Pertahanan serta rang undang-undang untuk menghapuskan hukuman mati mandatori.

"Ia akan menjadi perbincangan mengenai pelbagai rang undang-undang yang akan dibangkitkan di parlimen.

"Secara umum, ia adalah strategi untuk sesi parlimen yang akan datang ... Saya tahu IPCMC termasuk sekali," Ahli Parlimen Klang Charles Santiago memberitahu Malaysiakini.

Ahli Parlimen DAP itu berkata terdapat juga "rundingan politik dan strategi politik" untuk meneliti keadaan PH dan isu semasa seperti piagam bersama Umno-PAS.

Bagaimanapun, Charles menambah bahawa agenda penuh belum dimaklumkan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berkata pemukiman itu akan dibahagikan kepada pelbagai sesi dengan menteri yang berbeza.

Selain daripada hal kerajaan, beliau berkata terdapat beberapa perbincangan mengenai perkara-perkara parti.

"(Ia akan diadakan seperti) satu sesi dengan menteri undang-undang (VK Liew), satu sesi dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman dalam agenda belia dan tentu saja belanjawan.

"Saya fikir parti politik yang berbeza juga akan meneliti beberapa isu panas yang berlaku," katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang berkata terdapat juga sesi untuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bercakap mengenai visi kemakmuran bersama beliau.

Bagaimanapun, Chang menegaskan bahawa tumpuan utama adalah mengenai rang undang-undang dan belanjawan.

"Salah satu adalah Kertas Putih Pertahanan, kami juga cuba memansuhkan hukuman mati mandatori," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, yang merupakan pengerusi untuk pemukiman itu, berkata akan diadakan satu sidang akhbar mengenai isu-isu yang dibincangkan selepas pemukiman berkenaan.

Lihat Komen
ADS