Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Ada ahli Umno dah sahkan ke Kongres Maruah Melayu’

Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Dr Zainal Kling berkata sudah terdapat ahli Umno mengesahkan akan mengikuti acara itu di Shah Alam, Ahad ini.

Zainal bagaimanapun belum dapat memberikan angka sebenar buat masa ini.

“Setakat ini sudah sah PAS dan sebahagian Umno dan ada juga yang lain-lain seperti NGO yang berminat dan orang awam,” katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya berkaitan penyertaan pemimpin Umno, beliau berkata masih belum ada pengesahan kehadiran dibuat.

“Tiada, pimpinan tinggi Umno kita belum pasti, yang hadir itu orang kata anggota umum pemimpin (Umno),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengesahkan telah menerima jemputan dan akan memutuskan kehadiran dalam mesyuarat hari ini.

Setakat laporan ini ditulis, Umno belum mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu, walaupun sekutu politiknya PAS berkata akan menyokong acara itu.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini mendakwa universiti dipergunakan oleh Bersatu dengan penganjuran acara yang disertai oleh pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad.

Mereka juga mendakwa ia dianjurkan sebagai respons kepada Himpunan Penyatuan Ummah yang menyaksikan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS.

Kongres anjuran empat universiti awam itu - Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) - akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Amanah dan PKR juga dijemput

Sementara itu, Zainal turut menjelaskan jemputan diberikan kepada semua parti politik majoriti Melayu terdiri daripada pembangkang dan juga kerajaan.

“Kita jemput semua parti Melayu yang majoriti lah. Semua parti pembangkang dan juga kerajaan,” katanya.

Kata Zainal, antara parti politik yang dijemput terdiri daripada Amanah, PAS, Umno dan PKR.

Lihat Komen
ADS