Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akaun FB palsu: Laporan polis sudah dibuat, kata Nga
Diterbitkan:  Oct 2, 2019 6:47 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata pihaknya sudah membuat laporan polis berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor oleh pemilik akaun Facebook 'Nga Kor Ming Super Fans'.

Menurut Nga, laporan polis dibuat oleh setiausaha sulitnya di ibu Pejabat Polis Ipoh hari ini.

"Saya memandang serius fitnah jahat ini, oleh itu saya telah mengarahkan setiausaha sulit kanan saya, Tan Tiong Yih untuk membuat laporan polis di ibu Pejabat polis Ipoh hari ini serta membekalkan bukti-bukti keterangan membongkarkan konspirasi jahat tersebut untuk membantu siasatan polis.

"Satu laporan juga akan dibuat kepada SKMM. Tindakan undang-undang yang wajar juga akan diambil," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Nga, beliau turut menasihatkan semua pihak agar segera menghentikan fitnah berkenaan.

"Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh bersama kerajaan menolak perbuatan fitnah dan berita palsu yang sedang cuba merosakkan hubungan kaum dan ketenteraman negara kita yang tercinta ini," katanya.

Terdahulu pengiring Sultan Selangor hari ini dilapor membuat satu laporan polis terhadap pemilik akaun 'Nga Kor Ming Super Fans Club' yang didakwa menghasut masyarakat Cina membenci Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Laporan itu dibuat di balai polis Seksyen 6 Shah Alam dan kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Hantaran itu dikatakan menampakkan pemilik akaun 'Nga Kor Ming Super Fans Club' mengajak orang Cina yang tidak puas hati membuat bantahan terhadap Sultan Selangor, susulan keputusan tidak membenarkan papan tanda jalan dwibahasa digunakan di negeri itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak menerusi perkongsian di Facebook mendakwa Nga mempunyai kaitan dengan kiriman berkenaan.

Nga sebelum ini menafikan beliau mempunyai kaitan dengan Facebook berkenaan atau terlibat dalam membuat hantaran itu.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini mendapati Nga pernah pernah berkongsi beberapa hantaran daripada Facebook tersebut, termasuk pada Sept lalu.

Lihat Komen
ADS