Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno dijangka hantar wakil ke Kongres Maruah Melayu

Selepas PAS, Umno juga kemungkinan akan menghantar pemimpin kanan menghadiri Kongres Maruah Melayu yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam, Ahad ini.

Malaysiakini difahamkan, Umno yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menghantar beberapa orang wakil ke kongres berkenaan.

"Umno berkemungkinan besar akan menghantar beberapa orang wakil termasuk seorang pemimpin kanan ke kongres berkenaan.

"Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat hari ini, Umno memilih berjiwa besar demi kepentingan orang Melayu," kata sumber ketika dihubungi.

Difahamkan keputusan itu akan diumumkan Umno dalam masa terdekat.

Esok Majis Tertinggi (MT) parti itu akan bermesyuarat dan dipercayai mengumumkan keputusan berkenaan.

PAS pada 1 Okt lalu mengesahkan akan hadir ke Kongres Maruah Melayu yang turut menampilkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan, PAS akan diwakili presidennya sendiri iaitu Abdul Hadi Awang.

"PAS telah menerima jemputan daripada penganjur untuk menghadiri Kongres Maruah Melayu yang dijadual berlangsung pada 6 Oktober ini," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Kongres anjuran empat universiti awam itu - Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) - akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Mahathir disahkan akan merasmikan kongres tersebut dan akan menyampaikan amanatnya.

Lihat Komen
ADS