Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden PAS akan hadir Kongres Maruah Melayu
Diterbitkan:  Oct 1, 2019 5:00 PM
Dikemaskini: Oct 2, 2019 12:17 PM

PAS akan hadir ke Kongres Maruah Melayu yang dijadual berlangsung awal bulan depan, yang turut menampilkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan, PAS akan diwakili presidennya sendiri iaitu Abdul Hadi Awang.

"PAS telah menerima jemputan daripada penganjur untuk menghadiri Kongres Maruah Melayu yang dijadual berlangsung pada 6 Oktober ini.

"Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pusat PAS mengambil ketetapan bersetuju untuk presiden menghadiri kongres tersebut sebagai tanda jiwa besar parti bagi mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional dalam negara ini," katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Kongres anjuran empat universiti awam itu - Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) - akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Mahathir disahkan akan merasmikan kongres tersebut dan akan menyampaikan "amanat".

Sementara itu Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata parti itu juga telah menerima jemputan dan akan memutuskannya esok.

“Ya, presiden Umno baru menerima jemputan pihak penganjur untuk menghadiri Kongres Maruah Melayu Sabtu ini.

“Esok kita bawa ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti sama ada akan hadir atau tidak,” ciapnya di Twitter.

Bagaimanapun beliau berkata kongres tersebut bertembung dengan perasmian konvensyen Umno Melaka.

Ia di sebalik kritikan beberapa pemimpin Umno terhadap penganjuran kongres itu, antaranya naib presiden Khaled Nordin yang mendakwa ia menggunakan institusi pengajian tinggi sebagai alat politik.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi pula dipetik Umno Online sebagai menyifatkan acara itu dibuat sebagai respons kepada Himpunan Penyatuan Ummah yang menyaksikan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional antara Umno dan PAS.

Semalam Pengerusi Veteran Umno, Othman Desa - dalam sidang media bersama dengan Assabiqun PAS - juga mempersoalkan penganjuran kongres itu, tidak lama selepas Himpunan Penyatuan Ummah.

Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Dr Zainal Kling berkata kongres dianjurkan sebagai jawapan kepada pihak yang menurutnya mencabar kedudukan Melayu dan menafikan universiti dijadikan alat politik dengan penganjurannya.

Lihat Komen
ADS