Wisma Putra selar laporan NYT petik diplomat M'sia
Kementerian Luar Negeri menyelar laporan New York Times yang kononnya memetik laporan seorang diplomat Malaysia berhubung keadaan kem pendidikan semula (re-education camp) etnik Uighur di Xinjiang, China.
Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata adalah tidak tepat untuk mendakwa bahawa laporan diplomat itu 'disembunyikan'.
"Artikel ini tidak mencerminkan yang benar dan profesionalisme kewartawanan. Sebaliknya, ia nampaknya membawa niat jahat.
"Kementerian tidak mengulas mengenai komunikasi dalamannya secara khusus, yang merupakan perkara kerahsiaan yang ketat.
"Komunikasi berkenaan tidak bertujuan didedahkan kepada umum. Oleh itu, laporan ini, atau sebarang komunikasi dalaman yang lain 'diembunyikan' adalah tidak tepat," kata Wisma Putra.
Dalam laporan pada 25 September bertajuk ‘China wants the world to stay silent on Muslim camps. It’s succeeding’, laporan NYT memetik seorang diplomat Malaysia yang tidak dinamakan dalam lawatannya ke kem berkenaan pada Disember tahun lepas.
NYT melaporkan dua laporan - satu oleh diplomat Malaysia dan satu lagi oleh pegawai-pegawai Kesatuan Eropah - sangat kritikal selepas lawatan mereka.
"China mungkin mempunyai alasan yang sah untuk melaksanakan dasar-dasar yang bertujuan untuk menghapuskan ancaman keganasan, terutama di Xinjiang.
"Bagaimanapun, berdasarkan pendekatannya, ia menangani isu itu secara salah dan tidak sah, contohnya mencegah kanak-kanak Muslim daripada mempelajari al-Quran," kata diplomat Malaysia itu.
NYT mendakwa diplomat itu menulis bahawa: "Para perwakilan sebenarnya dapat merasakan ketakutan dan kekecewaan daripada para pelajar (Uyghur)."
Bagaimanapun, NYT mendakwa laporan berkenaan tidak pernah didedahkan kepada umum kerana Malaysia sedang merunding semula perjanjian infrastruktur dengan republik itu.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pada 28 Sept lalu berkata negara-negara majoriti umat Islam tidak bersuara tentang penindasan terhadap masyarakat Uyghur di Xinjiang kerana China sebuah negara yang sangat kuat.

