Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya masih boleh simpan Waytha Moorthy, kata Mahathir
Diterbitkan:  Oct 3, 2019 11:57 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada keperluan untuk menilai semula kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan kedudukannya sebagai menteri dalam barisan Kabinet kekal.

“Saya tak nampak ada masalah, jadi saya masih boleh simpan dia sebagai menteri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Putrajaya hari ini.

Pada 3 Januari lalu, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata, beliau akan membuat keputusan mengenai kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa Waytha Moorthy dilucutkan jawatannya susulan kematian Muhammad Adib yang dipukul berikutan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya, November tahun lalu.

Pada Jumaat lalu, Koroner Rofiah Mohamad, memutuskan punca kematian anggota bomba itu adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa.

Susulan kejadian itu, Waytha Moorthy didakwa gagal mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Malah, beberapa kenyataannya dikatakan memburukkan lagi hubungan kaum di negara ini termasuk gagal menangani isu sensitif yang membabitkan perkauman dan agama.

Lihat Komen
ADS