Air berbau: Pengurusan Air Selangor jamin air selamat digunakan
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menjalankan pemeriksaan dan ujian kualiti air ke atas 842 aduan air berbau daripada keseluruhan 952 aduan yang diterima daripada pengguna sejak 29 Sept lepas.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor Abdul Raof Ahmad berkata berdasarkan ujian in-situ (ujian pensampelan ditapak) ke atas 842 aduan itu mendapati air yang dibekalkan adalah selamat digunakan dan mematuhi piawaian kualiti air Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pihak kami akan menjalankan pemeriksaan dan ujian kualiti air bagi baki 110 kes lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu katanya Air Selangor akan melaksanakan pemeriksaan di sistem agihan dan kolam perkhidmatan dengan terkini sembilan kolam perkhidmatan telah dicuci.
Dalam masa yang sama aktiviti pencucian sistem perpaipan di kawasan aduan akan diteruskan dan pemantauan serta tindakan berterusan akan dilaksanakan sehingga semua kes dan aduan air berbau tiada lagi.
Air Selangor mengambil serius berhubung perkara itu dan menasihati pelanggan menghubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019-2800919/019-2816793 sekiranya mengalami masalah bekalan air berbau.
- Bernama

