Paling Popular
Terkini

Umno akan menghantar wakilnya ke Kongres Maruah Melayu (KMM) selepas menerima jemputan dari pihak penganjur, kata presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami hanya semalam menerima jemputan ditujukan kepada presiden Umno.

“Maka, selepas berbincang dalam mesyuarat hari ini adalah diputuskan bahawa Umno bersetuju menghantar satu rombongan yang akan diketuai oleh Setiausaha Agung Umno (Annuar Musa),” kata Zahid pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Kongres Maruah Melayu itu dianjurkan oleh empat universiti awam iaitu - Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) - akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Ahad ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad diundang untuk merasmikan kongres berkenaan, sementara Presiden PAS Abdul Hadi Awang dijangka turut hadir.

Zahid menjelaskan bahawa Umno menghantar wakilnya atas dasar menghormati pihak penganjur yang difahamkan mengambil inisiatif membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu.

Namun, tambah Zahid, beliau memberitahu tidak dapat hadir ke kongres tersebut kerana mempunyai majlis lain untuk dihadiri.

“Saya tidak dapat hadir kerana perlu merasmikan konvensyen Umno negeri Melaka dan merasmikan perhubungan Puteri Umno Malaysia seluruh negara pada tarikh yang sama.

“Program ini ditetapkan tarikh lebih awal,” tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS