Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Perlu ada bukti 'tak dapat dipertikai' rakyat mahukan semula GST

Pelaksanaan semula GST hanya boleh dibuat jika ada "bukti yang tidak dapat dipertikaikan" rakyat memang mahukan sistem cukai itu dikembalikan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ini kerana pada PRU ke-14 rakyat telah menyuarakan secara jelas bahawa mereka menolak sistem cukai tersebut, katanya.

Lim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan mengkaji untuk melaksanakan semula GST jika itu yang dikehendaki rakyat.

"Perdana menteri tak pernah sebut perkara ini kepada saya. Saya rasa beliau hanya menjawab (soalan) media (tentang pelaksanaan semula GST).

“Tapi pada PRU lalu, telah jelas bahawa rakyat telah menolak GST berkadar 6 peratus itu. Jika rakyat mahukannya, kita perlu dapatkan mandat daripada rakyat yang mereka mahukannya (dilaksanakan semula).

“Perlu ada bukti yang tidak dapat dipertikaikan (yang menunjukkan perkara itu)...(Jika tidak) anda tidak boleh menentukan apa sebenarnya mandat rakyat,” katanya pada sidang media selepeas mesyuarat majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Terdahulu ketika sidang media, Lim diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang dikatakan akan mengkaji sistem cukai kontroversi itu.

Dr Mahathir semalam ketika ditemui media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem GST sekiranya itu kemahuan rakyat.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Lim berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pelaksanaan semula GST. Sebaliknya berkata ia perlu diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

PH dalam manifestonya sebelum ini berjanji untuk menghapuskan GST yang dilaksanakan pada 1 April 2015 dan menggantikannya kepada sistem percukaian yang lama iaitu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada kadar 10 peratus.

Apabila ditanya sama ada SST merupakan pilihan terbaik yang dibuat, beliau hanya berkata bahawa PH telah menunaikan janjinya dan kos sara hidup tidak tertekan seperti sebelum ini.

Untuk rekod, GST menyumbang kira-kira RM44 bilion daripada pendapatan negara berbanding SST yang menyumbang kira-kira RM22 bilion GST dan SST memang berbeza iaitu pendapatan SST (setahun) dalam RM22 bilion manakala GST RM41 bilion.

Lihat Komen
ADS