Hong Kong isytihar undang-undang darurat
GLOBAL l Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam hari ini mengumumkan perintah darurat buat kali pertama dalam tempoh lebih 50 tahun, bertujuan membendung keganasan yang memuncak di bandar ditadbir China itu.
Bercakap pada sidang media, Lam berkata, larangan pemakaian topeng muka juga berkuat kuasa Sabtu, 5 Oktober, mengikut undang-undang darurat yang membolehkan pihak berkuasa ‘membuat sebarang peraturan’demi kepentingan awam.

Ramai penunjuk perasaan sebelum ini memakai topeng untuk menyembunyikan identiti mereka kerana takut majikan boleh berdepan tekanan untuk mengambil tindakan terhadap mereka.
Adalah tidak jelas bagaimana kerajaan akan melaksanakan larangan pemakaian topeng di sebuah bandar di mana kebanyakan daripada 7.4 juta penduduk memakainya setiap hari untuk melindungi diri daripada jangkitan selepas tercetusnya Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) pada tahun 2003.
Protes anti-kerajaan yang telah berlarutan empat bulan itu mengheret bekas tanah jajahan British ke dalam krisis politik terbesar sejak penyerahannya ke Beijing pada 1997 dan mencetuskan cabaran serius kepada pemimpin China Xi Jinping.

Keganasan memuncak pada Selasa lalu, yang juga adalah ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China, apabila polis melepaskan kira-kira 1,800 kelongsong gas pemedih mata, 900 peluru getah dan enam peluru hidup - salah satu terkena seorang lelaki berusia 18 tahun.



