Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Raja-raja bukan sekadar badan istiadat - Pakar perlembagaan

Pakar perlembagaan, Profesor Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi berpandangan bahawa Majlis Raja-raja (MRR) bukan semata-mata badan yang bersifat istiadat seperti yang dilihat sesetengah pihak.

Sebaliknya, bagi beliau, berdasarkan penglibatan MRR dalam beberapa isu sebelum ini, badan itu lebih berperanan sebagai "juruaudit" terhadap perlembagaan dalam memastikan semak dan imbang.

“Penglibatan tegas MRR menunjukkan, ia bukan hanya badan istiadat.

“Ia, pada pandangan saya, juruaudit kepada perlembagaan. Ia boleh meneliti apa-apa isu pun, tak semestinya yang tersenarai dalam senarai (bidang kuasa) negeri, juga dalam senarai persekutuan seperti imigresen dan perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang pleno bertajuk “Peranan raja dan Majlis Raja-raja di Malaysia dalam Perlembagaan”, di Persidangan Lawasia Constitutional and Rule of Law di Hotel One World, Petaling Jaya hari ini.

Kata Shad, hal itu termasuklah memberikan nasihat terhadap mana-mana perkara, bertanyakan soalan serta meminta apa-apa maklumat tentang apa-apa perkara.

Jelasnya, menurut Perkara 38 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan, MRR diberikan kuasa untuk menimbang teliti mengenai dasar negara dan “apa-apa perkara lain yang difikirkannya patut”.

Oleh itu, kata Shad, peranan MRR mempunyai pontesi yang sangat besar, dan “boleh dimanfaatkan dalam perkara-perkara yang kehilangan keseimbangan”.

Beliau memberikan contoh bagaimana pada 2015, MRR mengeluarkan kenyataan tegas tentang skandal 1MDB, yang menyentuh tentang ketelusan dan integriti kerajaan dalam kes tersebut, selain melahirkan kekecewaan terhadap pemimpin politik dan NGO yang mensensasikan isu perkauman dan keagamaan.

“Saya harus katakan ini, sesetengah daripada anda mungkin tidak bersetuju, tetapi meskipun dengan kelemahannya, Perlembagaan Merdeka ialah satu mahakarya (masterpiece) berkenaan kesederhanaan, belas kasihan dan tolak ansur,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perlembagaan tersebut dilihatnya semakin hilang keseimbangannya, antaranya disebabkan ketaksuban sesetengah badan berkuasa negeri dalam menguatkuasakan undang-undang Islam sehingga melanggar bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Hal itu juga, katanya menyebabkan banyak fasal undang-undang yang ditafsirkan dengan pemahaman yang “terlalu kanan” oleh mahkamah.

Oleh itu, ketika badan-badan lain dalam negara tidak mahu mengambil tanggungjawab, Shad berpendapat, hanya MRR yang mampu memainkan peranan dalam membetulkan ketidakseimbangan tersebut, menyeru ke arah kesederhanaan dan mengekang golongan ektrimis.

“Saya harap dan berdoa, agar raja-raja boleh memainkan peranan lebih aktif, untuk mengembalikan keseimbangan yang ada dalam Perlembagaan Merdekan,” katanya lagi.

Sidang pleno itu turut disertai Ketua Strategi Hak Asasi Manusia daru Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Firdaus Husni dan dikelola oleh peguam, Syahredzan Johan.

Lihat Komen
ADS