Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasangan cilik berbusana diraja pikat hati Permaisuri

Ramai rakyat Malaysia kini kembali tertarik dengan busana kurung tradisional beserta selendang serta tudung bawal apabila fesyen itu sering dikenakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tidak mahu ketinggalan, pemakaian itu turut diikuti si cilik Nur Varisya Aisy,7 yang berasal dari Kulai, Johor.

Nur Varisya turut ditemani seorang kanak-kanak lelaki, Syahibudil Ansyaufi, 7 yang berpakaian seperti Agong.

Menurut ibu Syahibudil, Shadathul Naiem, 43, yang juga ibu saudara Nur Varisya, idea penggayaan fesyen itu terhasil apabila terdapat pertandingan pakaian beragam di sekolah kanak-kanak tersebut.

“Mereka (kedua kanak-kanak itu) tidak tahu sebenarnya kenapa kena pakai baju itu, siapa yang selalu pakai sebelum ini.

“Dia ikut saja mak dia punya selera, sampai satu tahap ada pertandingan pakaian beragam, saya suruh mereka pakai dan cikgu-cikgu terus seronok tengok ada 'Agong' dan 'Permaisuri' mini datang sekolah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kedua-dua kanak-kanak berkenaan sebelum ini mendapat perhatian warganet apabila gambar mereka lengkap dengan pakaian yang digayakan tular.

Gambar yang telah dimuat naik di Twitter sejak semalam itu sudah meraih 11,500 ulang ciap dan 23,100 tanda suka oleh pemilik akaun @weallhungry – yang merupakan kawan rapat keluarga berkenaan.

 

Malah, hantaran tersebut turut mendapat perhatian dari Raja Permasuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang meninggalkan komen semalam.

“Ma sha allah, cute nya..bersemut telefon baru saya,” kata Raja Permaisuri Agong.

Sementara itu, Shadhathul turut berkata, anak-anaknya kini mula tertarik untuk mengetahui lebih khusus tentang konsep diraja.

“Lepas habis pertandingan itu, mereka tanya saya kenapa cikgu sekolah asyik panggil 'Tuanku', mereka segan.

“Jadi saya pun beritahulah pakaian yang digayakan itu fesyen raja dan permaisuri sebab itu cikgu dan budak sekolah semua suka,” katanya.

 

Tambahnya, kanak-kanak itu sungguh suka dengan pakaian tersebut sehingga bertanya tentang tempat tinggal Agong.

“Anak-anak tanya, mana rumah Permaisuri Agong dan Raja, apa tugasan diraja. Jadi saya pun bawa lah anak-anak ke muzium diraja semalam, bagi anak tengok rumah Permaisuri macam mana.

“Sekurang-kurangnya mereka tertarik untuk tahu tentang sejarah lepas berpakaian seperti Agong,” katanya.

Lihat Komen
ADS