Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Haram serah kuasa pada bangsa lain bukan Islam - Hadi
Diterbitkan:  Oct 7, 2019 1:51 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan haram bagi umat Islam untuk menyerahkan kuasa kepada bangsa lain yang bukan beragama Islam.

Beliau mengibaratkan penyerahan kuasa kepada bangsa bukan Islam itu sebagai menyerahkan rumah sendiri kepada mereka yang datang menumpang.

"Haram bagi umat Islam menyerah kuasa kepada bangsa lain yang bukan Islam.

"Sehingga menjadi hina laksana menyerah rumah kepada penumpang.

"Kemudian melarikan diri tanpa bumi tanah air tempat berpijak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memberikan contoh tamadun dunia menjadi paling cemerlang apabila memilih untuk berpaksikan kepada agama Islam.

"Tamadun Melayu di Nusantara juga paling cemerlang apabila bersama Islam. Begitu juga bangsa Turki, Kurdis dan lain-lain.

"Adapun kejatuhan mereka selepas itu sehingga dijajah adalah kerana meninggalkan Islam," tambahnya.

Dia juga turut mengingatkan bangsa lain yang tidak mengamalkan Islam tidak mampu bertahan lama seperti umat Islam yang tegak dan bangkit bersama Islam sehingga beberapa abad.

"Tamadun bangsa lain tanpa Islam, akhirnya menghancurkan bangsanya sendiri dan tidak mampu bertahan lama," katanya.

Hadi juga turut menegur semua pihak agar bersikap lebih terbuka dan mendengar ucapan pemimpin-pemimpin Melayu, seperti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Saya mendengar amanat Dr Mahathir dengan teliti.

"Berbeza dengan kalangan yang menunggu kecaman beliau terhadap bangsa lain yang menjadi saingan kita dalam masyarakat majmuk," katanya.

Tambahnya,muhasabah diri juga adalah sangat penting dalam masyarakat bagi mengelakkan penyakit leka dalam diri bangsa Melayu terus merebak tanpa diubati.

Mengulas lanjut mengenai kehadirannya dan pimpinan PAS ke dua perhimpunan penyatuan sebelum ini, Hadi menjelaskan mereka dapat merealisasikan konsep taawun yang dipraktikkan dalam konsep budaya politik matang dan sejahtera.

"Sekurang-kurangnya PAS dapat merealisasikan konsep taawun yang dipraktikkan dalam konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diperkenalkan oleh PAS," katanya.

PAS sebelum ini hadir ke Himpunan Muafakat Nasional dan juga Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan bagi tujuan penyatuan kaum Melayu di negara ini.

Lihat Komen
ADS