Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan polis dibuat terhadap Zainal Kling
Diterbitkan:  Oct 7, 2019 8:15 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Satu laporan polis telah dibuat terhadap ketua eksekutif sekretariat program Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Zainal Kling kerana dituduh mengeluarkan kenyataan untuk mengapi-apikan ketegangan kaum.

Ketika dihubungi ahli Penang Society for Tamil Advancement, Yoganathan Loganathan mengesahkan dia membuat laporan itu di ibu pejabat polis Seberang Perai pada tengah hari ini.

Yoganathan berkata dia membuat laporan itu selepas membaca komen Zainal yang terbit di portal Malaysiakini dan The Malaysian Insight pada sekitar jam 9 malam tadi.

"Komen Zainal boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum dalam masyarakat berbilang bangsa di negara kita yang hidup dalam keadaan aman dan harmoni," katanya.

Menurut Yoganathan sekiranya benar dakwaan Zainal itu maka beliau perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Dia juga telah menuduh masyarakat bukan Melayu sebagai masyarakat yang tidak kenang budi dan menyalahkan masyarakat bukan Melayu, kononnya masyarakat Melayu, raja-raja Melayu dan agama Islam telah dihina.

"Kalau betul masyarakat Melayu, raja-raja Melayu dan agama Islam telah dihina, Zainal Kling haruslah membuat laporan polis," katanya dalam laporan polis.

Semalam, Zainal membuka tirai kongres yang berlangsung di Stadium Malawati dengan beberapa kenyataan keras yang menyentuh isu berkaitan perlembagaan persekutuan, kedudukan raja-raja dan juga kedudukan istimewa orang Melayu.

"Meskipun kita beri kerakyatan... Namun mereka sering langgar budi baik dan anugerah kita. Maka kerana ada ura-ura untuk rendahkan kontrak ini...," kata ahli akademik itu.

Kongres yang dihadiri lebih 5,000 peserta itu turut disertai oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin tertinggi Umno, PAS dan Pakatan Harapan.

Terdapat juga pengkritik yang menyifatkan perhimpunan itu sebagai campur tangan akademik memandangkan ianya dianjurkan oleh empat institusi pengajian tinggi awam di negara ini. 

Lihat Komen
ADS