Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas pengarah kewangan Felda pun tak tahu mandat RM100juta FIC

Setelah semalam saksi kedua menyatakan tidak tahu tentang mandat pelaburan bernilai bawah RM100 juta oleh Felda terhadap Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), hari ini bekas Pengarah Kewangan Felda menyatakan pengakuan sama.

Kata Mohd Shahrin Mohd Ali yang kini merupakan pengarah Unit Transformasi Felda, dia hanya mengetahui mengenai perkara tersebut ketika perbicaraan melibatkan pengarah besar Felda tentang kes penternakan ikan sturgeon pada tahun 2017.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh timbalan pendakwa raya, Afzainizam Abdul Aziz dalam perbicaraan kes rasuah dan pecah amanah Isa Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang masuk hari kedua hari ini.

Afzainizam: Bilakah sebenarnya kamu tahu mandat pelaburan FIC yang ditetapkan oleh ahli lembaga pengarah (ALP) Felda setakat RM100 juta ke bawah?

Shahrin: Saya sebenarnya mengetahui perkara ini ketika perbicaraan sebelum ini, yang melibatkan pengarah besar Felda, berkaitan kes penternakan ikan sturgeon pada 2017. Ketika itulah saya memahami atau tahu berkaitan had RM100 juta ini.

Afzainizam: Semasa proses bayaran (pendahuluan) dibuat oleh Felda kepada FIC pada 2014, adakah jabatan kewangan mengetahui tentang had pelaburan RM100 juta ini?

Shahrin: [...] Berdasarkan tempoh 2014, saya sebenarnya tak ketahui tentang had RM100 juta ini.

Afzainizam: Semasa bayaran (pendahuluan) dibuat, memang tak tahulah tentang RM100 juta ini?

Shahrin: Tidak.

Semalam, Siti Salwani Mohd Salleh turut menyatakan dia tidak tahu tentang mandat tersebut.

Isa - bekas pengerusi dan pengarah FIC - dituduh melakukan pecah amanah dengan memainkan peranan aktif dalam pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) pada harga RM160 juta tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat ahli Lembaga Pengarah Felda pada 2013 yang menyatakan mereka memberi mandat kepada ahli Lembaga Pengarah FIC membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai bawah RM100 juta.

Isa turut berhadapan sembilan lagi tuduhan menerima suapan RM3,090,000 daripada Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, yang memiliki MPHS, sebagai upah kerana membantu meluluskan pembelian aset tersebut.

Selain itu, ketika soalan balas, peguam bela Isa, Salehuddin Saidin mencadangkan bahawa kelulusan bayaran pendahuluan dari Felda kepada FIC juga boleh dianggap sebagai kelulusan terhadap pembelian MPHS.

Hal itu memandangkan ALP FIC pada ketika itu juga merupakan ALP Felda, termasuklah Isa Samad.

Dengan merujuk minit mesyuarat lembaga Felda yang ada mencatat tentang pembelian MPHS, kata Salehuddin, jika lembaga Felda tidak bersetuju atau mempunyai masalah dengan pembelian itu, pastilah ia dibangkitkan dalam mesyuarat lembaga Felda.

Salehuddin: Bermakna ketika itu (mesyuarat ALP), lembaga Felda dah tahu belian ini melebihi RM100 juta yang perlu mendapatkan kelulusan lembaga Felda?

Shahrin: Setuju.

Salehuddin: Disebabkan itu, apabila kemudiannya dipersetujui dalam minit mesyuarat (ALP Felda) untuk meratifikasi RM100 juta ke FIC untuk pembelian MPHS, ALP Felda sudah sedar tentang pembelian ini, dan kemudiannya meluluskan pula pemberian RM100 juta (pendahuluan), ini menunjukkan ALP Felda setuju untuk beri kelulusan (terhadap pembelian). Setuju?

Shahrin: Setuju.

Bagaimanapun, dalam pemeriksaan semula Afzainizam, Shahrin mengakui jawapan itu hanya pandangan peribadinya.

Perbicaraan dilakukan di hadpaan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Untuk tuduhan pecah amanah, Isa dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan sembilan pertuduhan menerima suapan secara rasuah bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Lihat Komen
ADS