Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB memasuki hari ke-18 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


4.30 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan ditangguh ke esok pagi.


4 petang: Mahkamah diberitahu Terengganu Menteri Besar Incorporated (MBI) menyingkirkan Shahrol Azral Ibrahim Halmi - saksi kesembilan pendakwaan - daripada jawatan CEO Terengganu Investment Authority (TIA) pada Mei 2009.

Untuk rekod, TIA ialah pendahulu 1MDB. Namanya ditukar selepas pengambilalihan oleh Minister of Finance Inc. 

Ketika sesi pemeriksaan balas, peguam Muhammad Shafee Abdullah menunjukkan resolusi pemegang saham biasa MGI Terengganu bertarikh 27 Mei 2009.

Ia menyatakan MBI Terengganu tidak setuju dengan penerbitan bon TIA dan menyenaraikan beberapa sebabnya.

Selain itu, ia juga menyatakan keputusan untuk menyingkirkan Shahrol sebagai pengarah TIA.

Shahrol kemudian mengesahkan perkara itu, tetapi berkata dia tidak tahu mengapa MBI Terengganu menyingkirkannya.

Dia juga berkata sehingga kini tidak diberitahu tentang sebab penyingkirannya.


3.35 petang: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengakui dia tiada bukti yang bekas perdana menteri Najib Razak tahu akan salah laku Jho Low berkenaan cadangan projek pembangunan Pulau Bidong.

Dia membuat pengakuan itu ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya sama ada Shahrol ada sebarang bukti menunjukkan najib tahu berkenaan muslihat Jho Low dalam projek itu, yang mana ahli perniagaan itu didakwa menutup maklumat daripada Shahrol dan Najib.

Shafee: Anda ada apa-apa bukti? Bahawa dia (Jho Low) membuat keuntungan betul-betul depan anda (under your nose), anda ada bukti PM (Najib) tahu?

Shahrol: Saya tak ada bukti.

Ketika itu, ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram menekankan ia merupakan pendirian pihak pendakwaan bahawa Najib tahu berkenaan perkara itu.


3.12 petang: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi setuju dengan pernyataan peguam bahawa Jho Low mengelak daripada menurunkan tandatangan pada dokumen berkaitan 1MDB untuk mengelak dikaitkan daripada mana-mana siasatan.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Adakah mengejutkan tandatangan Jho Low tidak mucul di mana-mana?

Shahrol: Ya.

Shafee: Dengan menggunakan penama (nominee), dia sendiri tidak membuat sebarang kemunculan melalui tandatangan atau apa saja seumpamanya?

Shahrol: Ya.

Shafee: Dia tidak mahu mana-mana siasatan menunjukkan ke arahnya dan dia menafikan sebarang pengetahuan atau tindakan, oleh sebab itu tiada tandatangan?

Shahrol: Ia tidak mustahil.


2.39 petang: Perbicaraan bersambung semula dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah meneruskan pemeriksaan balas dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.


12.40 tengah hari: Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan berhenti untuk rehat tengah hari. Perbicaraan akan bersambung semula pada pukul 2.30 petang.


12.27 tengah hari: Menurut bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, wajah Najib Razak tampak neutral ketika diberitahu pada 2009 bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin murka berkenaan terbitan bon Terengganu Investment Authority (TIA) bernilai RM5 bilion.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata, dia memaklumkan kemurkaan Sultan Mizan kepada Najib - ketika itu perdana menteri - di rumah Najib pada Mei 2009.

TIA kemudian diambil alih oleh Minister of Finance Inc dan ditukar menjadi 1MDB.

Terdahulu, Shahrol dalam pernyataan saksinya berkata, Sultan Mizan menitahkannya agar menandatangani resolusi TIA untuk membatalkan terbitan bon pada bulan itu.

Dalam keterangan hari ini, dia berkata menemui Najib di rumahnya di Jalan Langgak Duta.

"Ketika dia tanya saya mengapa Agong murka dan saya jawab tidak tahu... saya tak ingat (Najib tampak) bingung, sangat neutral," katanya.

Apabila peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata sama ada ia bermakna Najib tidak tahu akan sebab kemurkaan Sultan Mizan, Shahrol setuju.

Sultan Mizan Zainal Abidin


12.20 tengah hari: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin boleh jadi merujuk kepada Jho Low apabila baginda menyebut tentang 'watak kelakuan buruk' (unsavoury character) ketika satu pertemuan pada 2009.

Shahrol merujuk kepada mesyuarat pada 22 Mei 2009, yang mana Sultan Mizan dikatakan kecewa dan menitahkan agar terbitan bon Terengganu Investment Authority (TIA) digantung.

Menurut Shahrol, selepas melihat kembali situasi itu, dia percaya Jho Low adalah orang yang dirujuk baginda.

Bagaimanapun dia berkata tidak boleh menyatakan perkara itu secara pasti kerana dia tidak boleh bercakap bagi pihak Sultan Mizan, yang ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong.


11.36 pagi: Mahkamah diberi amaran bahawa telefon yang berdering ketika perbicaraan berlangsung selepas ini akan dirampas.

Penterjemah mahkamah mengeluarkan amaran itu selepas sebuah telefon di galeri awam berdering.

Pemeriksaan balas peguam Muhammad Shafee Abdullah dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi terhenti seketika apabila telefon itu terus berdering.

Hakim Collin Lawrence Sequerah, para peguam dan timbalan pendakwa raya kemudian mengalihkan pandangan ke bahagian depan galeri awam, di mana seorang perempuan dilihat cuba memadam telefon pintarnya yang berdering kira-kira 20 saat.

Selepas ia berhenti, Shafee berseloroh bahawa ia bukan telefon anak guamnya, Najib Razak.

Sequerah kemudian memberitahu penterjemah mahkamah untuk mengeluarkan peringatan kepada semua yang berada dalam mahkamah, terutama mereka di galeri awam, untuk untuk menetapkan telefon dalam mode senyap jika tidak ingin ia dirampas.


11.25 pagi: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi setuju bahawa ada pihak dalam AmBank yang terlibat bagi membolehkan bon 1MDB dijual dengan potongan harga kepada syarikat berkaitan Jho Low pada 2009.

Shahrol berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan apa yang berlaku pada Mei 2009, yang menyaksikan 1MDB hanya menerima RM4.3 juta daripada terbitan bon bernilai RM5 bilion.

Dia setuju dengan pernyataan Shafee bahawa boleh jadi bukan AmBank yang menjual bon 1MDB berjumlah RM700 juta pada harga RM617 juta kepada Aktis Capital Singapore Ltd, tetapi orang di dalamnya.

Ini kerana AmBank boleh membuat untuk dengan menjual bon itu pada harga muka kepada syarikat lain.

Menurut dokumen perjanjian antara AmBank dan Aktis selaku pelanggan bon sekunder, bank itu hanya mendapat untuk RM70,000 daripada bayaran sebagai ejen untuk Aktis.

Shafee: Saya tak akan tuduh AmBank secara keseluruhan. Saya katakan seseorang dalam AmBank. Maka AmBank tanggung kerugian dan sesetengah orang dapat keuntungan.

Shahrol: Ya.

Dia juga setuju apabila Shafee mengatakan selain AmBank, 1MDB dan rakyat Malaysia juga adalah pihak yang menanggung kerugian, kerana Aktis telah menjual semula bon itu pada harga asal kepada entiti dalam negara ini.


11.20 pagi: Mahkamah diberitahu syarikat yang berkaitan dengan Jho Low, Aktis Capital Singapore Ltd, membuat keuntungan kira-kira RM83 juta hanya dalam masa beberapa hari.

Keuntungan itu diraih apabila syarikat itu melanggan bon 1MDB dengan harga diskaun sebelum menjualnya semula dengan nilai muka (face value, atau nilai di atas kertas).

Menurut dokumen yang ditunjukkan di mahkamah ketika pemeriksaan balas dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Aktis menjadi pelanggan sekunder bagi Islamic medium-term notes (IMTN) dengan jumlah RM700 juta, dengan harga kira-kira RM617 juta, pada Mei 2009.

Ia dibuat melalui AmBank Group, iaitu pelanggan utama bon 1MDB dengan jumlah sehingga RM5 bilion.

Baki RM9 juta perbezaan harga itu digunakan untuk bayaran berkaitan, termasuk kira-kira RM70,000 yang dijadikan AmBank sebagai 'placement agent' untuk Aktis.


10.15 pagi: Mahkamah diberitahu yang Jho Low adalah satu-satunya penghubung antara bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Shahrol menyatakan perkara itu ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya berkenaan peranan Jho Low dalam mesyuarat 1MDB.

"Dia (Low) satu-satunya penghubung antara saya, 1MDB dan pemegang saham tunggal Najib," katanya.

Ketika Shafee bertanya siapakah pemegang saham tunggal 1MDB pada 2009, Shahrol menjawab Menteri Kewangan Diperbadankan.

Najib adalah menteri kewangan dan kemudian menjadi perdana menteri pada tahun itu.


10.30 pagi: AmBank Group sengaja menyembunyikan fakta daripada 1MDB berkenaan Aktis Capital dan Capital Group menjadi pelanggan sekunder bon syarikat itu, kata Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Bekas CEO 1MDB itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Shahrol bagaimanapun enggan membuat spekulasi berkenaan sebab bank itu ingin berbuat demikian.

Shafee: Jadi anda mahu kata yang anda tidak pernah dimaklumkan AmBank yang Aktis dan Country Group terlibat sebagai pelanggan sekunder?

Shahrol: Ya.

Saksi itu kemudian setuju dengan cadangan Shafee bahawa selepas melihat kembali situasi itu kini, AmBank secara sengaja menyembunyikan perkara itu.

Terdahulu, Shahrol berkata pada Oktober 2009 lembaga pengarah 1MDB memanggil AmBank untuk memberi penjelasan sebab 1MDB hanya menerima sejumah RM4.3 bilion untuk bon Islamic medium-term notes (IMTN) yang bernilai RM5 bilion.

Katanya, pembentangan AmBank kepada lembaga pengarah tidak mendedahkan berkenaan Aktis dan Country Group menjadi pelanggan sekunder.

Katanya lagi, mereka hanya diberitahu bon 1MDB dilanggan oleh Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan syarikat-syarikat insurans.

Dia juga berkata ahli lembaga pengarah yang paling lantang berkenaan nilai IMTN ialah pengerusi ketika itu, Bakke Salleh.

Bakke Salleh


9.57 pagi: Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan peguam Muhammad Shafee Abdullah bersoal balas berkenaan sama ada saksi kesembilan itu cuba untuk mengetahui apa yang berlaku kepada isu bon RM5 bilion pada 2009.

Ia ketika pemeriksaan balas, apabila Shafee bertanya sama ada Shahrol bertanya kepada AmBank, yang mengaturkan penerbitan bon, berkaan isu tersebut.

Apabila Shahrol menjawab "saya tak tahu", Shafee mengingatkannya bahawa dia, selaku bekas CEO 1MDB, ada hak untuk bertanya.

Shahrol: Saya tak (tanya) pada masa itu.

Shafee: Anda ada hak untuk tanya.

Shahrol: Saya tak tahu. Anda beritahu saya selaku peguam bela. Saya perlukan nasihat daripada peguam (pendakwaan).

Shafee: Kenapa perlu tanya (pendakwaan)? Anda dulu CEO 1MDB.

Shahrol: Saya tak tahu.

Keadaan menjadi tenang semula apabila Shahrol mendedahkan yang lembaga pengarah 1MDB sebanyak dua kali pada 2009 menghubungi AmBank berkenaan perkara itu.

Muhammad Shafee Abdullah


9.50 pagi: Perbicaraan bermula dengan pendakwaan memanggil sembilan saksi ke mahkamah untuk dikenal pasti oleh bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Saksi tersebut termasuk bekas pengerusi 1MDB Bakke Salleh dan Lodin Wok Kamaruddin; bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail; bekas pembantu Najib, Wan Ahmad Shihab; bekas ketua eksekutif kewangan 1MDB Azmi Tahir; bekas setiausaha 1MDB Lim Poh Seng; serta penyiasat polis Rajagopal dan Goh Gaik Kim.

Shahrol kemudian mengenal pasti mereka untuk tujuan rekod.


9.46 pagi: Tertuduh Najib Razak masuk kandang tertuduh. Perbicaraan dimulakan dengan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim - saksi kesembilan pendakwaan - sedia untuk pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.


Pemeriksaan balas pasukan pembelaan Najib Razak terhadap bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi masuk hari ketiga dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri berkenaan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah akan terus menyoal Shahrol yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan.

Dalam beberapa hari perbicaraan, soalan-soalan peguam terhadap Shahrol adalah berkataan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, bmenjadi arkitek kepada skandal 1MDB dan bertindak di belakang tabir, antaranya dakwaan pengalihan dana meragukan melibatkan Islamic Medium Term Notes (IMTN) bernilai RM5 bilion yang diterbitkan 1MDB pada 2009.

Ketika disoal Shafee semalam, Shahrol mengaku dia tidak tahu syarikat yang berkaitan dengan Jho Low iaitu Aktis Singapore Private Limited, melalui AmBank Group, melanggan bon itu, ketika dia masih menjadi CEO pada 18 Mei 2009.

Dalam keterangannya, Shahrol berkata dia terkejut selepas mendapat tahu tentang perkara itu melalui laporan media dan ketika disoal siasat polis.

Lihat Komen
ADS