Pecahkan monopoli Bernas dengan adil, kata MTEM
Kerajaan perlu melakukan pecahan monopoli dalam PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) secara adil dengan perkongsian hak permit import (AP), yang tidak terhad kepada pemain industri besar dari bukan Bumiputera sahaja, kata Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Yazid Othman berkata, syarikat tersebut mestilah terdiri daripada syarikat yang telah lama berkecimpung dalam industri padi beras, dan bukan salah satu daripada anak syarikat Bernas.
“Hasrat kerajaan memecahkan monopoli Bernas mestilah dilakukan secara adil dengan perkongsian hak AP kepada pengilang dan pemborong Bumiputera bukan hanya kepada pemain industri besar milik bukan Bumiputera.
“Pihak kami mengharapkan agar syarikat yang akan mengambil alih tanggungjawab Bernas mestilah yang berpengalaman dan mampu untuk membawa kedudukan yang lebih baik bagi petani khasnya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Bernas bekerjasama dengan banyak syarikat bukan Bumiputera.
“Jadi kita tak nak akhirnya kumpulan yang sama saja yang dapat AP.
“Jadi kita nak pastikan yang kerajaan buat keputusan sekarang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Pada 1996, Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan yang menyaksikan Bernas pemegang permit tunggal pengimport beras sehingga 2021.
Sebelum ini dilaporkan, kumpulan pengilang kecil beras itu menuntut Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) merangka dasar yang lebih jelas mengenai pengeluaran beras.
Ahmad Yazid berkata, pengagihan kuota AP itu mestilah dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan pengambilan secara total atau bersama-sama dapat berjalan lancar tanpa merugikan mana-mana pihak terutamanya pihak kerajaan.
“Tempoh pengukuran mestilah melebihi dua tahun bagi melihat keberkesanan dan kestabilan perjalanan operasi syarikat-syarikat yang diberi amanah.
“Tempoh ini perlu kerana ianya melibatkan banyak perkara antaranya kedudukan ekonomi negara.
“Cadangan kami adalah selewat-lewatnya pada fasa akhir tahun ini, pelbagai perkara perlu dilaksanakan bagi menjamin keberkesanan peralihan,” katanya.

