Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2020: Kelantan harap projek tebatan Sg Golok dipercepat

Selain meneruskan projek-projek mega yang diumumkan sebelum ini, Kelantan berharap kerajaan persekutuan mempercepatkan projek tebatan banjir melibatkan tebing Sungai Golok di Rantau Panjang.

Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Abdullah berkata, pihaknya berharap projek tersebut tidak diketepikan dalam Belanjawan 2020 oleh kerajaan persekutuan.

"Kita harap kerajaan pusat dapat percepatkan projek tambak tebing Sungai Golok sebab Thailand sudah menambah tambakan itu.

"Kita bimbang kalau kita lewat buat keputusan, jika hujan lebat akan menyebabkan limpahan besar daripada biasa. Sebab sebelah sana (Thailand) sudah tinggi.

"Sebelum ini kita kongsi air (limpahan sungai), sekarang bila dia tinggi, kita rendah maka kesan lebih teruk daripada yang berlaku (sebelum ini)," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Daulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Kawasan Rantau Panjang terletak bersepadan dengan Thailand dengan dipisahkan oleh Sungai Golok.

Setiap kali musim tengkujuh, kawasan itu sering dinaiki air akibat limpahan Sungai Golok.

Sehubungan itu Mohd Amar berkata, projek tebatan banjir itu perlu dilakukan segera selepas keputusan mengenainya sudah lama dibuat sebelum ini.

"Kita minta dipercepatkan segera, sebab keputusan sudah bertahun-tahun dah dalam mesyuarat kedua-dua negara, tetapi Thailand buat dulu," ujarnya.

Tambah anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor itu, sempena Belanjawan 2020, Kelantan juga berharap agar kerajaan pusat meneruskan lima projek mega seperti diumumkan sebelum ini dan beberapa cadangan baru.

"Selain itu kita ada beberpa cadangan baru yang kita minta dalam beberapa pertemuan supaya diberi perhatian, antaranya pembesaran jambatan Pengkalan Kubur- Takbai," kata Mohd Amar.

Sebelum ini kerajaan PH mengumumkan lima projek mega melibatkan Kelantan terdiri daripada projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur fasa 3 (LPT3), pembinaan jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli dan Lebuh Raya Central Spine Road sepanjang 123 kilometer dan pembinaan Jambatan Palekbang di Kota Bharu.

Lihat Komen
ADS