Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terdapat transaksi RM100 juta Felda kepada FICSB - Saksi
Diterbitkan:  Oct 9, 2019 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Penolong Pengurus Maybank Cawangan Jalan Raja Muda hari ini mengesahkan terdapat transaksi kemasukan wang RM100 juta daripada Felda kepada anak syarikatnya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada Mei 2015.

Khursiah Md Taib, 46, memaklumkan perkara itu ketika membaca penyataan saksinya pada hari ketiga perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saksi pendakwaan keenam itu mengesahkan terdapat transaksi pengeluaran wang daripada FICSB sebanyak RM97,993,061.23 pada 29 Mei 2015.

"Saya sahkan bahawa pihak FICSB telah memohon untuk memindahkan wang berjumlah RM97,993,061.23 daripada akaun semasa Maybank milik FICSB kepada akaun Maybank milik Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAP) pada 28 Mei 2015.

"Borang permohonan untuk kiriman wang Maybank itu telah ditandatangani oleh Aznam Shahuddin dan Datuk Dr Omar Salim (melalui tandatangan di bahagian bawah borang permohonan untuk kiriman wang Maybank yang dirujuk) selaku pihak yang diberi kuasa oleh FICSB untuk menandatangani dokumen-dokumen yang berkaitan dengan pentadbiran kewangan FICSB," katanya.

Khursiah mengesahkan bahawa cek Maybank atas nama FICSB berjumlah RM2,312,889.71 dibayar kepada akaun GAP pada 29 Okt 2015.

Sebelum itu saksi pendakwaan kelima, bekas Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada, 62, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa mengarahkannya menyegerakan pembayaran RM100 juta FICSB untuk dibayar kepada GAP bagi pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

FICSB membeli MPHS bernilai RM160 juta pada 2015.

Saksi pendakwaan ketujuh, Penolong Pengurus Maybank Kuching, Sarawak, Yeo Haw Yong, 54, pula mengesahkan GAP adalah pelanggan mereka.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung Isnin depan dengan saksi pendakwaan kelapan akan memberi keterangan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS