Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ambank sengaja sembunyi fakta pelanggan bon 1MDB - Saksi
Diterbitkan:  Oct 9, 2019 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Kumpulan AmBank sengaja menyembunyikan fakta dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tentang Aktis Capital and Country Group menjadi pelanggan sekunder bon 1MDB pada 2009.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang memberitahu perkara itu kepada mahkamah, bagaimanapun enggan membuat spekulasi mengenai mengapa bank itu mungkin mahu berbuat demikian.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguambela Najib pada hari ke-19 perbicaraan bekas perdana menteri itu yang menghadapi pertuduhan berkaitan dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Jadi, anda mahu menyatakan dalam rekod bahawa anda tidak pernah dimaklumkan oleh Kumpulan Ambank bahawa Aktir and Country Group terlibat sebagai pelanggan sekunder?

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee: Walaupun sekarang anda tahu, kami memperoleh perjanjian itu yang akan dikemukakan di mahkamah?

Shahrol Azral: Walaupun saya tahu sekarang.

Saksi berusia 49 tahun itu kemudian bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa selepas menilai kembali situasi sekarang, AmBank sengaja menyembunyikan fakta tersebut.

Mahkamah juga diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low adalah orang yang berada di belakang Aktis Capital and Country Group.

Terdahulu, saksi memberitahu bahawa lembaga pengarah 1MDB telah memanggil AmBank untuk menjelaskan mengapa 1MDB hanya menerima RM4.3 bilion untuk Nota Jangka ASederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion dan bukannya nilai muka.

Shahrol Azral juga berkata pembentangan pegawai AmBank kepada lembaga itu tidak memaklumkan mengenai Aktis and Country Group menjadi pelanggan sekunder 1MDB.

Kami hanya diberitahu bahawa bon 1MDB telah dilanggan oleh KWSP, Perkeso dan syarikat insurans," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung dengan timbalan pendakwa raya yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS